JPJ, Imigresan dipilih sebagai agensi projek rintis

Mohd Zuki
Mohd Zuki
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dipilih sebagai agensi projek rintis dalam meningkatkan perkhidmatan end-to-end (E2E), memantapkan proses kerja dan juga mengurangkan perkhidmatan kaunter.

Dalam kenyataan hari ini, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali berkata, kedua agensi projek rintis itu bakal dilaksanakan dalam tempoh enam bulan bermula November ini.

Menurutnya, pandemik koronavirus (Covid-19) memberi kesan kepada sistem penyampaian kerajaan apabila rakyat dan komuniti perniagaan menghadapi masalah untuk hadir berurusan di agensi kerajaan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

“Kami telah mengarahkan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) merangka dan menyelaras strategi penyampaian perkhidmatan kerajaan ke arah pengamalan norma baharu pasca Covid-19.

“Malah turut menfokuskan ke arah pendigitalan penyampaian perkhidmatan dengan memanfaatkan industri 4.0 yang menjurus kepada perkhidmatan E2E,” katanya.

Dalam kenyataan sama, Mohd Zuki berkata, kerajaan mensasarkan peningkatan kadar penyampaian perkhidmatan sebanyak 40 peratus menjelang akhir tahun 2020 berbanding sasaran tahun 2019 sebanyak 20.2 peratus bagi perkhidmatan dalam talian E2E sepenuhnya.

“Kerajaan akan terus meningkatkan lagi perkhidmatan E2E ini walaupun perlu menghadapi beberapa cabaran yang dikenalpasti seperti kekangan akta dan peraturan, prasarana teknologi dan komunikasi maklumat (ICT) dan kekangan peruntukan.

“Semua agensi kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam menyediakan pelan strategik pendigitalan secara menyeluruh.

Artikel Berkaitan:

“Ini penting bagi merangkumi keselamatan komunikasi, rangkaian siber di samping mengkaji semula perundangan dan peraturan bagi meningkatkan tadbir urus pengurusan data kerajaan,” katanya.