Musim tengkujuh dijangka bermula 11 November ini

Kenyataan akhbar MetMalaysia berkenaan permulaan Monsun Timur Laut 2020/2021.
Kenyataan akhbar MetMalaysia berkenaan permulaan Monsun Timur Laut 2020/2021.
A
A
A

SHAH ALAM - Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di Malaysia dijangka bermula pada 11 November ini dan berakhir pada Mac 2021.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), dalam tempoh tersebut, empat hingga enam episod hujan lebat yang signifikan dijangka berlaku dan semasa fasa awal monsun itu iaitu dari November sehingga Disember ini, episod hujan lebat dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

"Mulai Januari 2021, episod hujan lebat dijangka lebih tertumpu di Pahang, Johor, Sabah dan Sarawak.

"Fasa kedua Monsun Timur Laut pula akan bermula pada hujung Januari 2021 dan seperti biasa dijangka cuaca agak kering di negeri-negeri di utara Semenanjung (Kedah, Pulau Pinang dan Perlis) dan Kelantan," katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.

Menurut MetMalaysia lagi, hujan lebat berterusan untuk tempoh beberapa hari juga boleh mengakibatkan kejadian banjir di kawasan-kawasan berkedudukan rendah dan kawasan kerap banjir.

"Sekiranya hujan berlaku serentak dengan kejadian air pasang besar dan luruan ribut, risiko kejadian banjir boleh menjadi lebih buruk. Selain itu, tiupan angin Timur Laut secara berterusan dan kencang boleh menyebabkan laut bergelora dan ombak besar di perairan Laut China Selatan," katanya.

MetMalaysia turut mengingatkan orang ramai supaya bersiap sedia menghadapi musim tengkujuh dan sentiasa peka dengan amaran hujan lebat, angin kencang dan laut bergelora yang dikeluarkan pihaknya melalui laman web rasmi jabatan, aplikasi mobil myCuaca dan laman media sosial rasmi jabatan.

Untuk sebarang pertanyaan, orang ramai boleh menghubungi talian hotline MetMalaysia 1-300-22-1638.

Artikel Berkaitan: