X

Kindly register in order to view this article
!

Benar kerja dari rumah di kawasan bukan PKPB, dibincang esok

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bercakap pada sidang media mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan di Wisma Pertahanan Kementerian Pertahanan (MINDEF) hari ini.- Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Semua pekerja terus bekerja di pejabat atau rumah di negeri yang tidak dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) akan dibincangkan dalam mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) esok.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, beliau akan membincangkan perkara itu bersama Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Sekolah telah ditutup dan lebih ramai ibu bapa yang bekerja, begitu juga di Pahang, Perlis dan Kelantan yang tidak dapat menjaga anak mereka yang duduk di rumah akibat penutupan sekolah.

"Kita faham perkara ini insya-Allah saya akan bangkitkan dalam mesyuarat MKN berhubung perkara ini," katanya pada sidang akhbar perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini, hari ini.

Beliau berkata, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat juga akan memutuskan sama ada taska atau pusat asuhan kanak-kanak akan dibenarkan beroperasi di negeri yang tidak dikenakan PKPB.

Katanya, jika operasi taska dibenarkan, prosedur operasi standard (SOP) perlu dipatuhi sepenuhnya oleh pemilik taska bagi menjaga keselamatan dan kesihatan kanak-kanak yang diletakkan di bawah jagaan premis berkenaan.

Sabtu lepas, kerajaan memutuskan untuk melaksanakan PKPB di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan, bermula 9 November hingga 6 Disember ini.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata, Pasukan Petugas Khas Operasi Pematuhan PKPP diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan memantau pematuhan SOP sempena sambutan Deepavali, Sabtu ini.

“Pasukan ini pasti akan buat rondaan, jika kita lihat semasa Hari Raya lepas, PDRM membuat rondaan di kawasan kampung dan taman perumahan. Sebab itu kita lihat ada tindakan diambil di rumah kerana tetamu melebihi had dibenarkan.

“Bagi Deepavali, kita benar 20 orang tetamu di rumah penganut agama Hindu, mungkin jika ramai tetamu di rumah tindakan boleh diambil,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!