Pelan transformasi Biden

Joe Biden
Joe Biden
A
A
A

WASHINGTON - Presiden baharu dipilih Amerika Syarikat (AS), Joe Biden mengambil langkah pertama berpindah ke Rumah Putih semalam walaupun pendahulunya, Donald Trump masih enggan menerima kekalahan beliau dan berterusan mempertikaikan keputusan Pilihan Raya Presiden AS 2020.

Biden, 77, akan menetap di kediaman rasmi presiden itu selama 73 hari sebelum beliau mengangkat sumpah jawatan Presiden ke-46 AS pada 20 Januari 2021.

Beliau bersama Naib Presiden dipilih, Kamala Harris, 56, turut melancarkan laman web peralihan, BuildBackBetter.com dan Twitter feed @Transition46 sehari selepas kedua-duanya dihujani ucapan tahniah daripada pemimpin dan penyokong di seluruh dunia atas kemenangan tersebut.

Laman web peralihan itu turut menyenaraikan empat keutamaan pentadbiran Biden meliputi isu koronavirus (Covid-19), pemulihan ekonomi, kesaksamaan kaum dan perubahan iklim.

Difahamkan, kesemua isu penting tersebut akan menjadi cabaran utama Biden pada hari pertama beliau bergelar Presiden ke-46 AS.

Antara langkah pembaharuan utama yang akan dilakukan bekas Naib Presiden Barack Obama itu termasuk rancangan membatalkan larangan perjalanan dari 13 negara majoriti Islam yang sebelum ini dilaksanakan menerusi perintah eksekutif Trump sejurus mengambil alih jawatan di Rumah Putih pada 2017.

"Pada hari pertama bergelar Presiden, saya akan menamatkan larangan Muslim tidak berperlembagaan yang dikuatkuasakan Trump," katanya ketika berkempen pada Oktober lalu.

Selain itu, Biden yang bakal menyambut ulang tahun ke-78 pada 20 November depan juga merancang untuk menamakan pasukan petugas terdiri daripada 12 anggota bagi menangani pandemik Covid-19 selepas negara itu kini berdepan gelombang ketiga dan menjadi negara pertama di dunia mencatatkan kes jangkitan melebihi 10 juta kes.

Artikel Berkaitan:

Beliau juga menyuarakan hasrat menyertai semula Perjanjian Iklim Paris 2015 dan membatalkan keputusan pentadbiran Trump yang mahu menarik diri daripada Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Sementara itu, Trump yang menghabiskan masanya bermain golf selepas tewas dalam pemilihan itu tetap mahu meneruskan rancangan beliau untuk mengemukakan tuntutan undang-undang di mahkamah.

Peguam beliau, Rudy Giuliani dalam satu kenyataan juga mendakwa bilionair hartanah terbabit kononnya mempunyai banyak bukti tentang penipuan undi seperti didakwanya sebelum ini.

Tetapi, Presiden ke-43 AS, George W Bush yang mengucapkan tahniah atas kemenangan Biden dan Harris menegaskan keputusan pilihan raya itu jelas dan rakyat Amerika juga yakin proses pemilihan tersebut diadakan secara adil. - Agensi