Rakam keterangan tujuh saksi

Mohamad Farouk
Mohamad Farouk
A
A
A

AMPANG - Polis telah merakam percakapan tujuh saksi bagi membantu siasatan berhubung nahas helikopter yang mengorbankan dua individu di Taman Melawati di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, pihaknya juga telah mengenal pasti kira-kira 20 saksi lain untuk dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

"Orang ramai juga dinasihatkan tidak mengedarkan video atau gambar berkaitan insiden itu di media sosial bagi mengelakkan spekulasi dan komen yang tidak wajar serta menganggu siasatan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, jenazah kedua-dua mangsa yang terlibat dalam insiden itu iaitu Komander (B) Mohamed Sabri Baharom, 56, dan Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41, telah dibedah siasat pada jam 9 pagi di Hospital Canselor Tuanku Muhriz Universiti Kebangsaan Malaysia UKM (HCTM).

"Proses bedah siasat diketuai oleh Profesor Doktor Faridah Mohd Nor dari Patologi Forensik Jabatan Patalogi.

"Bedah siasat mula dilakukan pada jenazah Mohamed Sabri (juruterbang) dan kemudian Mohd Irfan (penumpang)," katanya.

Beliau berkata, bedah siasat pertama selesai kira-kira jam 11 pagi manakala bedah siasat mangsa kedua selesai jam 1 petang.

"Kedua-dua jenazah telah diserahkan pada waris masing-masing untuk dikebumikan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, keputusan penuh hasil bedah siasat akan dikemukakan setelah mendapat laporan penuh makmal.