X

Kindly register in order to view this article
!

AIM umum lanjut moratorium, beri manfaat 262,000 peminjam

Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan lanjutan pembayaran moratorium yang bakal memberi manfaat kepada 262,000 Sahabat AIM di seluruh negara berikutan lanjutan PKPB sehingga 6 Disember ini.
A
A

KUALA LUMPUR - Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) mengumumkan lanjutan pembayaran moratorium yang bakal memberi manfaat kepada 262,000 Sahabat AIM di seluruh negara berikutan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 6 Disember ini.

Pengerusinya, Datuk Lajim Ukin berkata, penangguhan tersebut berkuat kuasa serta merta bagi tempoh lima minggu bermula 9 November hingga 6 Disember 2020, dengan proses penangguhan bayaran sebanyak tiga kali dan moratorium tambahan maksimum selama satu tahun.

“Sepanjang PKPB, keputusan moratorium ini membabitkan penangguhan bayaran balik pinjaman berjumlah RM164 juta sehingga tamat tarikh PKPB pada Disember ini.

“Penangguhan bayaran secara automatik ini juga sebagai kemudahan kepada Sahabat AIM yang terkesan teruk akibat pandemik koronavirus (Covid-19) dan dibuka sepanjang tahun ini hingga 2021,” katanya dalam satu kenyataan sempena perasmian Program Bakul Kasih AIM di Beaufort, Sabah.

Bagaimanapun menurutnya, penangguhan itu memberi kesan langsung kerugian membabitkan RM17.7 juta kepada AIM.

“Ini juga sebahagian daripada inisiatif AIM untuk membantu Sahabat AIM bahkan menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan kelangsungan perniagaan mereka terjamin saat tempoh sukar," katanya.

Katanya, permohonan tangguh bayaran balik bagi kali pertama dan kedua tidak akan menjejaskan had pinjaman Sahabat AIM selain tiada caj faedah dikenakan terhadap penangguhan bayaran balik.

"Bagi memudahkan operasi pengendalian perkhidmatan di 92 cawangan AIM di seluruh negara, kesemua pegawai akan bekerja secara dua sesi," katanya.

Sepanjang tempoh PKPB, operasi pejabat berjalan seperti biasa, namun dibahagikan kepada dua sesi iaitu pagi dan petang bagi memastikan penjarakan sosial di pejabat dapat diamalkan tanpa mengetepikan perkhidmatan ditawarkan.

“Selain itu, bagi memastikan Sahabat AIM mendapat bimbingan perniagaan sewajarnya sepanjang tempoh PKPB, program M8 diketengahkan di setiap negeri.

“Program ini memerlukan setiap pegawai perkhidmatan yang bertugas untuk bersemuka dan menyampaikan perkhidmatan bimbingan perniagaan,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!