RM500 sebulan dari akaun satu KWSP tidak memadai: Khalid Samad

Khalid
Khalid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dana RM500 sebulan dari akaun satu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) untuk setahun bagi golongan sasar seperti dalam Belanjawan 2021 adalah tidak memadai dan diputuskan tanpa kajian sewajarnya, kata Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abd Samad.

Beliau berkata, jumlah itu tidak akan menyelesaikan masalah penganggur untuk memulakan langkah penjanaan pendapatan sebagai usaha meneruskan kehidupan.

"Bantuan RM500 sebulan yang dibenarkan itu hanya untuk 12 bulan bagi golongan tertentu. Sejauh mana RM500 ini boleh membantu?

"Nak bayar sewa rumah, kereta, beli makan minum lagi. Ini merupakan satu angka yang dipetik daripada udara tanpa ada usul kaji dan asas yang boleh menunjukkan bahawa jumlah itu memadai. Ia tidak memadai.

"Katakanlah sebagai juruterbang (diberhentikan)...Mereka ada ratusan ribu (ringgit) dalam tabung (KWSP). Tetapi sekarang ini mereka tidak boleh buat apa-apa. Nak niaga pun tak boleh, duit tak ada. Nak mulakan satu syarikat atau satu bentuk perniagaan, mereka perlukan kapital. Mereka ini tidak dibantu," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Khalid menambah, justeru, kerajaan perlu mengkaji semula isu pengeluaran wang KWSP termasuk soal bantuan kepada syarikat-syarikat.

Kata Khalid, Belanjawan 2021 yang dibentangkan pada Jumaat lalu tidak memenuhi keperluan dan kehendak suasana yang wujud pada masa ini.

"Banyak syarikat-syarikat yang terpaksa menanggung kerugian dan akhirnya kalau tidak dibantu, maka mereka terpaksa melepaskan pekerja-pekerja.

Artikel Berkaitan:

"Mereka telah bertahan sekian lama. Dalam keadaan itu pun dah ramai dilepaskan. Ini merupakan satu keperluan kepada kajian yang lebih mendalam apa yang diperlukan oleh syarikat-syarikat ini supaya mereka tidak perlu melepaskan ribuan pekerja," katanya.

Pada masa sama beliau mempertikaikan pembaziran peruntukan untuk Kabinet yang begitu besar dalam pembentangan bajet berkenaan.

"Pembaziran Kabinet begitu besar, sampai 70 orang. Kabinet yang tak ada kerja tapi anggota yang terbesar langsung tidak diberi perhatian dalam belanjawan ini. Ini soal tanggungjawab kerajaan mengurangkan pembaziran.

"Jadi saya rumuskan, kalau tak ada satu perubahan dan kesanggupan untuk mengubah belanjawan ini, kita akan tolak," katanya.