Dr Mahathir persoal bagaimana negara bayar hutang RM1.3 trilion

Dr Mahathir
Dr Mahathir
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menjangkakan kerajaan membuat pinjaman bagi menampung perbelanjaan sebanyak RM322.5 bilion yang diperuntukkan untuk Belanjawan 2021.

Beliau berkata, bagi tujuan tersebut, hutang negara meningkat kepada RM1.3 trilion dan negara akan bankrap sekiranya kerajaan gagal melunaskan hutang terbabit.

Pada masa sama menurutnya, pendapatan negara akan menyusut sepanjang tempoh pandemik koronavirus (Covid-19) tetapi kerajaan perlu menyediakan pelbagai pakej rangsangan yang menelan belanja besar.

“Kerajaan juga perlu membayar pinjaman dan mengurangkan prinsipal. Untuk itu sebanyak RM35 bilion diperlukan, jumlah caj perbelanjaan RM72.3 bilion atau 30.6 peratus daripada RM236.5 bilion perbelanjaan pengurusan.

“Saya akui akan rasa takut, ini perbelanjaan yang besar tetapi mampukah kita membiayainya dan hutang negara akan mencecah RM1.3 trilion. Bagaimana kita nak bayar?” Soalnya dalam tulisan di blog beliau hari ini.

Dalam pada itu, Dr Mahathir menyifatkan Belanjawan 2021 itu sebagai bajet yang 'sangat menakjubkan' kerana memperuntukkan jumlah bajet yang sangat besar dalam sejarah negara.

Menurutnya, hampir dua setengah jam beliau duduk di Dewan Rakyat baru-baru ini untuk mendengar pembentangan tersebut oleh Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.

Katanya, walaupun mengakui dirinya bukan seorang pakar kewangan, peruntukan besar bagi belanjawan kali ini sangat membingungkan seolah-oleh kerajaan terdesak memasukkan wang ke dalam saku semua orang tanpa mengira kaya atau miskin, yang mempunyai kerja dan tiada pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, belanjawan dibentangkan adalah Belanjawan untuk tahun 2021, namun sasaran untuk pemulihan ekonomi yang ditetapkan juga dilihat terlalu optimis.

"Saya memikirkan banyak lagi perkara yang boleh dilakukan untuk mengurangkan kos dan meningkatkan pendapatan tetapi barangkali Menteri Kewangan kita sudah mempertimbangkan semuanya sebelum membuat keputusan tersebut.

"Namun hakikatnya ramai yang tidak senang dengan keadaan ini dan ia terbukti daripada maklum balas yang diberikan," kata beliau.

Menurut Dr Mahathir, beliau berharap belanjawan itu dapat diperbaiki semula agar lebih realistik supaya semua ahli parlimen khususnya pembangkang dapat menyokong sepenuhnya Belanjawan 2021.

"Kami tidak perlu disogok untuk memberi sokongan dan tidak mahu menimbulkan sebarang krisis," katanya.