X

Kindly register in order to view this article
!

Cemar Sungai Kundang: Empat pengarah syarikat didakwa

Empat pengarah syarikat termasuk seorang wanita dihadapkan di Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas tuduhan melepaskan bahan buangan ke dalam Sungai Kundang, Rawang tanpa lesen. Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Empat pengarah syarikat sebuah kilang memproses minyak kelapa sawit terpakai dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Selayang hari ini atas pertuduhan melepaskan bahan buangan daripada premis itu ke dalam Sungai Kundang, Rawang tanpa lesen.

Ong Seng Khek, 71; Low Sze Wai, 66; Siow Lee Chen, 66, dan Ong Chee Ming, 34, masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadap mereka di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said.

Ketiga-tiga lelaki dan seorang wanita itu didakwa dengan niat bersama melepaskan bahan buangan daripada premis Syarikat United Fineoleo Sdn Bhd ke dalam parit yang mengalir ke Sungai Kundang, Rawang tanpa lesen di premis syarikat itu di Lot 19701, Jalan KPK 1/3, Kawasan Perindustrian Kundang, Kundang Jaya, Gombak di sini pada 22 Oktober lepas.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 25(1) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 25(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda RM100,000 atau penjara hingga lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Nurul Ain Shafie menawarkan jaminan RM50,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan melaporkan diri pada setiap bulan di balai polis berdekatan dan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Peguam S Y Ong yang mewakili kesemua tertuduh memohon jumlah jaminan dikurangkan kepada RM5,000 bagi setiap tertuduh atas alasan anak guamnya memberi kerjasama baik kepada pihak berkuasa sepanjang siasatan dijalankan.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM50,000 dengan seorang penjamin yang berlainan berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan dilarang mengganggu saksi pendakwaan serta melaporkan di balai polis berdekatan pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Mahkamah menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, di hadapan Majistret Nur Hafizah Rajuni, keempat-empat pengarah syarikat itu masing-masing mengaku tidak bersalah atas pertuduhan membenarkan lapan imigran haram berada di dalam premis yang sama tanpa kebenaran yang sah pada jam 3 petang, 26 Oktober lepas.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 55E Akta Imigresen 1959/63 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 55E (2) akta sama, yang membawa hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap imigran tersebut, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Khairunnisak Hassni menawarkan jaminan RM5,000 bagi setiap tertuduh dengan seorang penjamin, namun peguam mereka memohon jaminan lebih rendah atas alasan syarikat anak guamnya telah digulung.

Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin yang berlainan dan menetapkan 7 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, media melaporkan siasatan awal Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) mendapati pencemaran bau air sungai itu berpunca daripada bahan biodiesel yang melebihi 10 TON (ukuran kadar bau) pada aliran disyaki dari kawasan perindustrian Kundang Jaya.

Penjejakan pencemaran itu membawa kepada sebuah kilang di kawasan perindustrian Kundang Jaya yang kemudian dikenakan surat arahan di bawah Seksyen 121(1) Enakmen LUAS 1999 supaya menghentikan serta-merta discaj efluen selain melaksanakan tindakan pembersihan segera. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!