Biden dijangka tarik larangan perjalanan warga Islam

Pentadbiran Biden dikatakan sedang memulihkan empat tonggak utama di AS termasuk kesaksamaan kaum.
Pentadbiran Biden dikatakan sedang memulihkan empat tonggak utama di AS termasuk kesaksamaan kaum.
A
A
A

WASHINGTON - [DIKEMAS KINI] Bakal Presiden Amerika Syarikat (AS), Joe Biden dan bakal Naib Presiden, Kamala Harris telah memulakan transisi peralihan kerajaan dengan melancarkan laman web BuildBackBetter.com dan maklumat tentang misi pentabirannya menerusi Twitter iaitu @Transition46.

Laman web itu mengetengahkan empat keutamaan dalam peralihan pentadbiran tersebut iaitu pandemik koronavirus (Covid-19), pemulihan ekonomi, persamaan kaum dan perubahan iklim.

"Sebuah pasukan sedang ditubuhkan untuk memenuhi cabaran itu pada hari pertama," kata laman web tersebut yang merujuk kepada 20 Januari 2021 iaitu tarikh Biden akan mengangkat sumpah jawatan sebagai Presiden AS kali ke-46.

Biden daripada parti Demokrat yang akan berumur 78 tahun pada 20 November ini merupakan Presiden negara itu paling tua pernah dipilih oleh pengundi AS.

Harris, 56, pula ialah seorang senator dari California dan merupakan Naib Presiden dalam kalangan wanita AS pertama yang akan memegang jawatan itu pada tahun depan.

Beliau juga merupakan wanita kulit hitam dan berketurunan Asia Selatan pertama menjadi Naib Presiden AS.

Pada pagi Sabtu lalu, Biden berjaya menewaskan Presiden AS, Donald Trump, 74, daripada parti Republikan apabila mendapat 273 undi elektoral berbanding Trump 213 undi elektoral pada Pilihan Raya Presiden AS.

Seseorang calon perlu mendapat 270 undi elektoral daripada 538 undi elektoral untuk menjadi Presiden AS.

Artikel Berkaitan:

Pengiraan undi pilihan raya Presiden yang diadakan pada 3 November lalu itu masih belum selesai ketika keputusan itu didedahkan media.

Biden merancang untuk mewujudkan sebuah pasukan bertindak pada hari ini bagi menangani Covid-19 yang menyebabkan lebih 237,000 rakyat negara itu meninggal dunia.

Beliau turut merancang supaya AS menyertai semula permuafakatan Paris dan dilaporkan akan mengeluarkan arahan eksekutif pada hari pertama bertugas sebagai Presiden negara tersebut dengan menarik balik larangan ke atas rakyat daripada kebanyakan negara Islam untuk mengunjungi AS.

Pada tahun 2017, Presiden AS, Donald Trump dilaporkan melarang penduduk beragama Islam dari Iran, Iraq, Libya, Somalia, Sudan, Syria dan Yemen daripada mengunjungi negara itu.

Biden juga berikrar akan menamakan anggota-anggota Kabinet yang menggambarkan kepelbagaian di negara itu walaupun beliau mungkin berdepan dengan masalah untuk mendapatkan kelulusan pelantikan Kabinet jika parti Republikan menguasai Dewan Senat AS.

Keputusan sama ada Dewan Senat dikuasai oleh parti Republikan hanya diketahui pada Januari tahun depan.

Ini adalah kerana pilihan raya bagi kerusi Perdue di Georgia terpaksa diadakan semula selepas calon Demokrat, David Perdue dan calon Republikan, Jon Ossof gagal mendapat 50 peratus undi dalam pilihan raya Dewan Senat. - Agensi