X

Kindly register in order to view this article
!

Perluas pemberian 'one-off' kepada petugas barisan hadapan

Adnan
A
A

SHAH ALAM - Pemberian 'one-off' sebanyak RM500 untuk 100,000 petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan (KKM) perlu diperluaskan lagi kepada lebih ramai petugas barisan hadapan di KKM serta beberapa jabatan seperti polis, tentera, bomba, pihak berkuasa tempatan dan lain-lain agensi yang ditakrifkan sebagai petugas barisan hadapan.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs), Adnan Mat berkata, beliau berharap kerajaan mempertimbangkan perkara itu dan mencadangkan petugas barisan hadapan bukan KKM tersebut diberikan 'one-off' sebanyak RM300.

Selain itu katanya, jumlah 100,000 petugas KKM yang dimaklumkan dalam Belanjawan 2021 tidak meliputi kesemua petugas barisan hadapan di kementerian terbabit.

"Seperti kita ketahui, petugas barisan hadapan sehingga kini memainkan peranan yang cukup besar dalam menyekat penularan koronavirus (Covid-19) terutama dalam aspek sokongan, keselamatan dan penguatkuasaan undang-undang.

"Kami di Cuepacs menggesa agar kerajaan dapat memperluaskan pemberian 'one-off' itu kepada lebih ramai petugas KKM serta petugas barisan hadapan di agensi lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu, menerusi pembentangan Belanjawan 2021 baru-baru ini, kerajaan memaklumkan petugas barisan hadapan KKM akan menerima pemberian tambahan secara 'one-off' sebanyak RM500 dan pemberian itu sebagai tanda penghargaan kerajaan terhadap jasa mereka.

Adnan berkata, lebih tujuh bulan, kesemua petugas barisan hadapan ini berjuang menangani Covid-19 sehingga ramai dalam kalangan mereka sendiri dijangkiti wabak tersebut, malah sebaik sembuh mereka ini telah ditugaskan semula sebagai petugas barisan hadapan terutamanya pada masa kini di mana berlaku peningkatan semula kes termasuk kewujudan kluster-kluster baharu setiap hari.

Menurutnya, peranan petugas barisan hadapan ketika ini lebih sukar untuk membendung Covid-19 kerana tiada sekatan sepenuhnya seperti dahulu apabila kerajaan terpaksa menyeimbangkan kepentingan ekonomi dan keselamatan rakyat.

Katanya, selain daripada tugas hakiki masing-masing, pertambahan tugas untuk membendung Covid-19 sudah tentu membebankan emosi dan fizikal petugas barisan hadapan, walaupun ikrar tugas mereka adalah berkhidmat untuk negara.

"Kerajaan wajar mempertimbangkan segala penat lelah dan pengorbanan kesemua petugas barisan hadapan ini," katanya.

Dalam pada itu, Adnan berkata, Cuepacs juga memohon KKM untuk memastikan bekalan peralatan perlindungan untuk petugas barisan hadapan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE) dan cecair pembasmi kuman mencukupi serta dihantar segera di kesemua fasiliti kesihatan di seluruh negara.

"Kami menerima beberapa aduan daripada petugas barisan hadapan yang memaklumkan bekalan yang diberikan tidak mencukupi hingga memaksa mereka menggunakan inisiatif sendiri untuk memperolehnya.

"Jika petugas barisan hadapan ini tidak dibekalkan dengan peralatan keselamatan yang mencukupi, ia boleh mendedahkan petugas kesihatan bekerja dalam risiko jangkitan yang tinggi dan lebih buruk lagi jika fasiliti kesihatan tersebut terpaksa ditutup atau lumpuh akibat petugas di situ dijangkiti oleh Covid-19 selain menjangkiti pelanggan yang datang," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!