Pemberian wang ehsan kepada 350 guru al-Quran

Asmadi (tengah) menyampaikan wang ihsan kepada guru al-Quran asrama sekolah Pahang.
Asmadi (tengah) menyampaikan wang ihsan kepada guru al-Quran asrama sekolah Pahang.
A
A
A

KUANTAN - Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) memberi sumbangan wang ehsan sebanyak RM105,000 kepada 350 guru al-Quran asrama sekolah di negeri ini.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitumal dan Operasi Muip, Dr Asmadi Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas pihaknya menerima cadangan daripada Persatuan Guru-guru al-Quran Asrama Negeri supaya menghargai jasa guru agama yang berusaha membasmi buta al-Quran dalam kalangan pelajar.

"Jadi, pihak kami mengambil keputusan meluluskan peruntukan sebanyak RM105,000 ini untuk disumbangkan kepada guru-guru yang terlibat.

"Setiap guru bakal menerima RM300 dan pemberian itu diharap dapat meningkatkan lagi kesungguhan mereka dalam menjalankan tugas yang diamanahkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada pada majlis penyampaian wang ihsan kepada guru al-Quran asrama di masjid Al-Muhammadi Markas Briget Pasukan Gerakan Am (PGA) Kem Bukit Galing, hari ini.

Dalam pada itu Asmadi berkata, walaupun pemberian itu tidak banyak, namun ia sekurang-kurangnya memberi sedikit kegembiraan kepada kesemua guru terbabit dalam memastikan setiap pelajar Islam di asrama mengikuti kelas mengaji yang diadakan setiap minggu itu.

Sementara itu, pengerusi Persatuan Guru-Guru al-Quran Asrama Negeri Pahang, Azinah Ramli menyifatkan pemberian wang ihsan daripada MUIP itu sebagai tanda sokongan kepada 350 guru di negeri ini.

Beliau mewakili semua guru mengucapkan terima kasih kepada Muip yang sentiasa menghargai tugas yang digalas oleh guru al-Quran termasuk menyediakan pelbagai kemudahan.

Artikel Berkaitan:

"Kami akan terus memikul tugas yang diberikan dalam memastikan golongan pelajar di asrama boleh membaca al Quran," katanya.