Selangor peruntuk RM400 juta perangi Covid-19

Gambar kecil: Dr Siti Mariah
Gambar kecil: Dr Siti Mariah
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak RM400 juta diperuntukkan kerajaan Selangor dalam usaha memerangi penularan wabak koronavirus (Covid-19) di negeri ini.

Exco Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita & Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri sentiasa membantu dan menyokong apa jua tindakan yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia dalam memastikan rantaian Covid-19 berakhir di negeri itu.

Menurutnya, sebanyak 5,433 saringan fasa pertama telah dijalankan melibatkan perbelanjaan berjumlah RM1.6 juta.

"Saringan fasa dua diteruskan lagi dengan menyasarkan golongan berisiko seperti rakyat Selangor yang pulang dari Sabah dan sebagainya dan peruntukan bagi program saringan fasa dua ini berjumlah RM1.36 juta dan akan diteruskan pelaksanaan sehingga tahun 2021," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Daroyah Alwi (Bersatu-Sementa) mengenai peruntukan kerajaan negeri bagi membendung penularan Covid-19 di Selangor ketika sesi Dewan Undangan Negeri Selangor hari ini.

Katanya, kerajaan negeri turut menyumbangkan pelitup muka kepada pelajar-pelajar sekolah di seluruh Selangor, Jabatan Pendidikan Negeri Selangor (JPNS), Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) dan semua penjawat awam negeri Selangor.

"Langkah ini bagi mencegah penularan wabak di premis kerajaan dan memastikan agar setiap pihak yang terlibat mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Bagi tujuan tersebut sebanyak RM5.8 juta telah diperuntukkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, kerajaan negeri turut memberi sumbangan kit pembasmi Covid-19 kepada 854 taska berdaftar di negeri Selangor yang menelan belanja sebanyak RM690,000 bagi memastikan kesemua taska berdaftar mematuhi SOP yang telah ditetapkan oleh MKN.

"Kerajaan negeri sentiasa memantau perkembangan kes-kes Covid-19 di Selangor dan akan merancang program serta inisiatif baharu berdasarkan situasi semasa," katanya.