Kedah mohon kerajaan bantu sektor pelancongan di Langkawi

Mohd Firdaus Ahmad
Mohd Firdaus Ahmad
A
A
A

ALOR SETAR - Sektor pelancongan di Langkawi didapati merundum sejak Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac lalu dan kerajaan Kedah merayu kepada kerajaan Pusat agar dapat membantu sektor tersebut di negeri ini untuk terus bertahan.

Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Firdaus Ahmad berkata, sebelum ini Langkawi muncul antara tumpuan lokasi pelancongan penting dan menyumbang kepada pendapatan negara namun kini lumpuh akibat pandemik koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, selepas tamatnya PKP, sektor pelancongan Langkawi dilihat kembali bernafas sekaligus memberikan sedikit kelegaan kepada semua pemain industri di pulau pelancongan tersebut.

"Namun apabila kena balik Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang pertama, kehadiran pelancong ke Langkawi dilihat menurun dengan mendadak dan kita tidak dapat berbuat apa-apa.

"Langkawi banyak bergantung pada sektor pelancongan, jadi bila pelancong tak masuk hampir semua terkesan dan menjejaskan pendapatan mereka di sana. Jadi untuk pulihkan sektor pelancongan ini kita perlu ambil masa yang lama," katanya pada sidang akhbar khas berkaitan pelancongan di Wisma Darul Aman, dekat sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohd Firdaus berkata, pihaknya turut memohon kepada Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia untuk melihat dan membantu sektor pelancongan di Kedah terutamanya di Langkawi.

"Sebelum ini kita ada juga mohon dari kerajaan Pusat supaya Langkawi dapat beroperasi seperti biasa kerana masih berada dalam Zon Hijau, namun kini hampir semua negeri kena PKPB termasuk Kedah. Jadi hanya perlu berdoa supaya kes akibat Covid-19 ini akan turun dengan mendadak selepas ini," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan negeri memutuskan beberapa aktiviti dalam sektor pelancongan, seni dan budaya, belia dan sukan serta pembangunan usahawan dan koperasi dibenarkan beroperasi sepanjang PKPB bermula hari ini sehingga 6 Disember depan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun katanya, aktiviti pelancongan hanya dibenarkan di dalam kawasan PKPB iaitu di daerah itu sendiri namun aktiviti berkelah adalah tidak dibenarkan.

"Sebagai contoh, penduduk Kota Setar mereka boleh pergi melancong ke Gunung Keriang atau Muzium Padi tetapi dengan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

"Aktiviti sukan dan rekreasi yang tidak bersentuhan dan dijalankan tidak melebihi 10 orang juga dibenarkan manakala aktiviti di padang bola sepak komersial, gelanggang futsal, badminton serta gimnasium hanya dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam," katanya.

Mohd Firdaus berkata, bagi sektor perniagaan, ekonomi dan industri seperti pasar raya, pusat beli belah, restoran, kedai makan, penjaja dibenarkan beroperasi dari jam 6 pagi hingga 10 malam manakala bagi restoran dan kedai makan, perkhidmatan makan di premis dibenarkan dengan had dua atau empat orang satu meja dengan menjaga penjarakkan fizikal satu meter.