Dua ahli perniagaan ditahan bersama RM1.06 juta syabu

Johari (tengah) menunjukkan rampasan methamphetamine yang dibungkus dengan bungkusan timah pada sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri JKDM Pulau Pinang, Perai hari ini.
Johari (tengah) menunjukkan rampasan methamphetamine yang dibungkus dengan bungkusan timah pada sidang akhbar di Kompleks Pencegahan Negeri JKDM Pulau Pinang, Perai hari ini.
A
A
A

PERAI - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) merampas 7,078 gram dadah jenis methamphetamine bernilai RM1.06 juta dengan penahanan dua lelaki di Bayan Lepas dan Selayang, Selangor, minggu lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) JKDM, Datuk Johari Alifiah berkata, pihaknya menerima maklumat awal lalu memeriksa sebuah syarikat kurier di Taman Perusahaan Nyaman Mutiara di Bayan Lepas, Georgetown.

Menurutnya, pemeriksaan yang dilakukan pada jam 12.45 tengah hari pada 2 November lalu itu menemui lapan bungkusan yang mengandungi papan litar elektronik melibatkan tiga alamat pengirim di Kuala Lumpur.

"Ketika pemeriksaan, terdapat beberapa pekerja di syarikat kurier itu. Semakan mendapati, bungkusan itu dikirimkan ke salah sebuah negara di Oceania. Pemeriksaan kandungan lapan bungkusan itu menjumpai 18 bungkusan timah disorokkan dalam papan litar elektronik.

"Setiap 18 bungkusan itu mengandungi hablur kristal yang disyaki dadah methamphetamine seberat 6,075 gram dengan anggaran harga pasaran RM911,250," katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Negeri JKDM Pulau Pinang di sini hari ini.

Tambahnya, susulan itu, pihaknya menahan seorang lelaki warga tempatan di syarikat kurier yang sama pada jam 11 pagi, 4 November lalu.

"Lelaki berusia 29 tahun itu ditahan bersama sebuah bungkusan yang akan dikirimkan ke sebuah negara di Oceania. Hasil pemeriksaan bungkusan tersebut menemui satu papan litar elektronik yang di dalamnya mengandungi dua bungkusan timah berisi methamphetamine.

"Anggaran berat dadah itu adalah 1,003 gram dengan harga pasaran RM150,450. Hasil tangkapan itu, kita menahan seorang lagi lelaki tempatan berusia 39 tahun di Selayang, Selangor," katanya.

Artikel Berkaitan:

Johari berkata, siasatan awal mendapati kedua-dua lelaki yang merupakan ahli perniagaan itu menjalankan kegiatan tersebut sejak sebulan lalu.

"Ini kali pertama mereka ditahan selepas sebulan menjalankan kegiatan penyeludupan dadah. Kedua-dua suspek direman sehingga 11 November ini.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana mengedar dadah," katanya.