Tiada surat kebenaran, polis Kelantan arah patah balik

Shafien (tengah) ditemani Azahar menyampaikan sijil penghargaan kepada ketua agensi yang terlibat dalam program dijayakan Jabatan Penerangan Kelantan di Kota Bharu malam tadi.
Shafien (tengah) ditemani Azahar menyampaikan sijil penghargaan kepada ketua agensi yang terlibat dalam program dijayakan Jabatan Penerangan Kelantan di Kota Bharu malam tadi.
A
A
A

KOTA BHARU - Polis Kelantan akan mengarahkan individu yang gagal mengemukakan surat kebenaran polis dan tidak mempunyai alasan yang kukuh untuk memasuki Kelantan supaya berpatah balik ke lokasi asal mereka berkuat kuasa tengah malam tadi.

Ketua Polis Negeri, Deputi Komisioner Shafien Mamat berkata, tindakan tegas tersebut dibuat terutamanya membabitkan individu yang datang dari kawasan zon merah wabak koronavirus (Covid-19).

Menurutnya, arahan terbabit adalah bagi mengekang penularan Covid-19 di Kelantan dan rakyat perlu mematuhi ketetapan yang dibuat oleh kerajaan untuk keselamatan semua pihak.

“Kalau masuk ke Kelantan tidak boleh beri surat kebenaran dari balai polis, kita arah patah balik. Jangan pula bagi alasan palsu, alasan tidak kukuh dan karut. Kita arah pusing balik.

“Mana-mana mereka yang mempunyai surat kebenaran kita akan tapis dan akan menjalani ujian swab terlebih dahulu di lokasi sekatan jalan raya yang kita buat,” katanya kepada pemberita pada Majlis Jalinan Strategik Jabatan Penerangan Kelantan 2020 (Sepakat@Komuniti) Pembudayaan Normal Baharu: Putuskan Rantaian Covid-19, di sini malam tadi.

Hadir sama Pengarah Penerangan Negeri, Azahar Ismail.

Mengulas lanjut, Shafien berkata, pihaknya mengadakan sekatan jalan raya sepanjang 24 jam di empat lokasi utama pintu masuk ke Kelantan bersama dengan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan.

“Bermula dari malam tadi sekatan jalan raya dibuat di Pasir Puteh iaitu di Tok Bali dan Bukit Yong melibatkan laluan dari Terengganu, manakala sekatan juga dibuat di Gua Musang dan Jeli,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Shafien juga memaklumkan, beliau memohon bantuan daripada Angkatan Tentera Malaysia untuk operasi di setiap sekatan jalan raya bagi membantu tujuh anggota yang bertugas dari setiap balai terlibat.

Katanya, untuk sekatan jalan raya di Pasir Puteh akan dibantu oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok.

“Saya yakin masyarakat kita dapat mematuhi prosedur operasi standard yang telah ditetapkan oleh kerajaan kerana ini bukan kali pertama Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan," katanya.

Berkuat kuasa hari ini, PKPB dilaksana di semua negeri di Semenanjung Malaysia kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan sehingga 6 Disember depan.