Minimum satu juzuk sehari

Muhd Syamil menyandang tempat kedua bagi kategori 1 hingga 30 juzuk lelaki dalam Pertandingan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri yang diadakan bermula 29 hingga 31 Januari lalu di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman Jalan Air Putih, Kemaman.
A
A

KUALA TERENGGANU - Pelajar Kolej Al-Quran Terengganu (KQT) berkongsi rahsia membaca sekurang-kurangnya satu juzuk al-Quran dalam sehari bagi membolehkannya berjaya setiap kali menyertai pertandingan tilawah dan hafazan al-Quran.

Pelajar Program Diploma Tahfiz al-quran & Bahasa Arab, Muhd Syamil Malek, 24, berkata, selain berusaha menghafal dan menghayati kandungan al-Quran, corak pemakanan juga perlu dijaga bagi memastikan hafalan terus segar dalam ingatan.

"Jaga pemakanan ini biasanya kita akan jauhi yang syubhah iaitu yang diragui status halal atau haram," katanya kepada Sinar Harian.

Menurut Muhd Syamil, kejayaan tidak datang bergolek tanpa dorongan dan sokongan daripada keluarga terutama ibunya, Riyahin Abdul Ghani, 52.

"Sejak kecil, memang ibu saya beri galakan untuk saya jadi seorang hafiz supaya saya boleh menjaga al-Quran dan dalam masa yang menjaga akhlak sebagai Muslim.

"Saya mula menghafal al-Quran bermula usia 13 tahun dan khatam pada usia 15 tahun ketika belajar di Maahad Tahfiz Darul Bayan, Pinang Merah, Dungun," katanya.

Anak kelahiran Kampung Kebor Air, Manir ini berkata, kali pertama dia menyertai pertandingan tilawah dan hafazan al-Quran peringkat negeri pada 2013.

"Waktu tu saya hanya memenangi saguhati. Selepas itu saya cuba perbaiki lagi kelemahan dari segi bacaan dan hafazan saya supaya lebih baik.

"Sehinggalah saya dapat merangkul tiga kali naib juara dalam pertandingan ini dan pernah sekali menyandang juara pada 2016," katanya.

Muhd Syamil memenangi tempat kedua bagi kategori 1 hingga 30 juzuk al-Quran dalam Pertandingan Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri yang diadakan bermula 29 hingga 31 Januari lalu di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) Jalan Air Putih, Kemaman.

Sebelum itu, pelajar itu pernah menyandang naib johan bagi kategori 1 hingga 30 juzuk lelaki pada 2015, johan kategori sama pada 2016 dan naib johan bagi kategori 1 hingga 30 juzuk pada 2017.

Selain itu, Muhd Syamil juga pernah mendapat Naib Johan Acara Hafazan Program Ihtifal Huffaz Kebangsaan kali ke 4 anjuran bersama Jakim kategori 1 hingga 30 juzuk lelaki.