Perkasa pertanian, agromakanan

Ronald (kanan) melakukan tinjauan mesra Projek Pertanian Bandar Komuniti Perumahan Awam Seri Perlis 2 Keramat, Kuala Lumpur pada 16 Jun lalu.
Ronald (kanan) melakukan tinjauan mesra Projek Pertanian Bandar Komuniti Perumahan Awam Seri Perlis 2 Keramat, Kuala Lumpur pada 16 Jun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Belanjawan 2021 yang dibentang Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pada Jumaat lalu dilihat begitu inklusif kerana dirangka berdasarkan tiga matlamat induk iaitu kesejahteraan rakyat, kelangsungan perniagaan dan ketahanan ekonomi.

Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) yang diterajui Datuk Seri Dr Ronald Kiandee memperoleh peruntukan berjumlah RM4.790 bilion untuk terus memperkasa sektor pertanian dan agromakanan termasuk akuakultur.

Dana itu melibatkan peruntukan sebanyak RM1.512 bilion bagi pembangunan dan RM3.278 bilion untuk perbelanjaan mengurus.

Di bawah matlamat kesejahteraan rakyat, menerusi Strategi Kedua belanjawan iaitu untuk memelihara kebajikan golongan rentan, kerajaan memberi penekanan di bawah Langkah 3 yang menumpukan bantuan kepada petani, peladang dan nelayan yang berada di bawah kementerian tersebut.

Menerusi pembentangan Belanjawan 2021, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM1.7 bilion disediakan dalam bentuk subsidi, bantuan dan insentif khusus kepada golongan petani dan nelayan.

Menurutnya, daripada jumlah tersebut, ia melibatkan subsidi harga padi sebanyak RM570 juta, subsidi dan insentif tanaman padi berjumlah RM960 juta termasuk subsidi baja padi bukit yang diperkenalkan semula sebanyak RM40 juta.

Ronald (kanan) dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah (tengah) melawat projek ternakan udang harimau di Sebatu, Melaka pada 5 Julai lalu.
Ronald (kanan) dan Timbalannya, Datuk Seri Ahmad Hamzah (tengah) melawat projek ternakan udang harimau di Sebatu, Melaka pada 5 Julai lalu.

“Semua bantuan ini dijangka dapat memanfaatkan lebih 300,000 pesawah di seluruh Malaysia termasuk penanam padi bukit di Nabawan, Sabah dan Kanowit, Sarawak.

Artikel Berkaitan:

“Selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, elaun sara hidup nelayan juga dinaikkan daripada RM250 kepada RM300 sebulan bermula pada tahun 2021 dan lebih 40,000 nelayan akan menikmati ban-tuan ini melibatkan peruntukan sebanyak RM151 juta,” katanya.

Sementara itu, Tengku Zafrul berkata, di bawah Matlamat Kedua Belanjawan 2021 yang menekankan kelangsungan perniagaan, kerajaan menerusi Strategi 2 iaitu untuk memperkukuh sektor-sektor tumpuan memberi perhatian terhadap langkah pemerkasaan sektor pertanian serta industri maka-nan yang merangkumi tujuh inisiatif utama.

Katanya, menerusi inisiatif pertama iaitu peluasan Program Kebun Komuniti kepada komuniti separa bandar dan luar bandar, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM30 juta.

Program yang bakal memanfaatkan kira-kira 60,000 peserta itu menyediakan peralatan seperti kit fertigasi dan media tanaman bernilai sehingga RM500 bagi setiap individu atau RM50,000 bagi setiap komuniti.

“Bagi inisiatif kedua berkai-tan pelaksanaan projek perta-nian organik peringkat komuniti, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM50 juta dan dijangka dapat memanfaatkan seramai 1,000 komuniti.

“Menerusi pelaksanaan Program Ladang e-Satelit, peruntukan RM10 juta diberikan secara geran padanan sehingga RM30,000 kepada setiap Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) bagi tujuan pembelian peralatan pertanian berasaskan Internet of Things termasuk dron.

“Program ini dijangka boleh memanfaatkan lebih 300 PPK dengan keahlian hampir sejuta petani dan peladang,” katanya.

Selain itu, Tengku Zafrul berkata, sebanyak RM150 juta disediakan melalui Agrobank bagi pembiayaan di bawah Program Pemodenan Vessel dan Mekanisasi Tangkapan sehingga RM5 juta pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada nelayan zon A dan zon B untuk menaik taraf peralatan, pukat dan bot.

Menurutnya, pembiayaan di bawah Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan sehingga RM1 juta pada kadar 3.5 peratus bagi tempoh 10 tahun kepada pengusaha perta-nian untuk perolehan peralatan dan teknologi berteraskan IR4.0 turut diberikan dengan nilai peruntukan berjumlah RM60 juta melalui Agrobank.

Ronald (kiri) melihat proses pembungkusan nanas di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Kulim Pineapple Farm (KPF) di Ulu Tiram, Johor Bahru pada 4 Julai lalu.
Ronald (kiri) melihat proses pembungkusan nanas di Pusat Pengumpulan, Pemprosesan dan Pembungkusan Kulim Pineapple Farm (KPF) di Ulu Tiram, Johor Bahru pada 4 Julai lalu.

“Melalui inisiatif keenam iaitu pelaksanaan Program Pengembangan Akuakultur, kerajaan memberi peruntukan RM10 juta secara geran pada-nan sehingga RM20,000 kepada pengusaha mikro bagi membeli peralatan untuk mengembangkan ternakan akuakultur bernilai tinggi.

“Bagi inisiatif terakhir iaitu pelaksanaan projek pertanian dan penternakan berimpak serta bernilai tinggi, sebanyak RM100 juta diperuntukkan melalui kerjasama dengan kerajaan negeri seperti projek tanaman nanas di Johor dan ternakan udang galah di Negeri Sembilan,” katanya.

Sementara itu, Ronald menyifatkan peruntukan RM4.79 bilion melibatkan aspek pembangunan (RM1.51 bilion) dan perbelanjaan mengurus (RM3.28 bilion) kepada kementerian itu menunjukkan keprihatinan kerajaan kepada pembangunan sektor agromakanan sebagai sektor ekonomi yang penting kepada negara.

Menurutnya, peruntukan pembangunan yang lebih tinggi diberikan pada tahun 2021dijangka dapat memenuhi keperluan kementerian untuk melaksanakan perancangan dan projek bagi memperkasakan sektor agromakanan negara serta memastikan kebajikan petani, penternak dan nelayan serta usahawan tani terus terpelihara.

Katanya, di bawah perbelanjaan mengurus, pihaknya menerima RM1.72 bilion bagi pemberian subsidi, insentif dan bantuan untuk petani dan nelayan pada tahun 2021 yang antara lain akan meningkatkan daya saing pengeluaran padi dan beras menerusi peningkatan produktiviti, kualiti dan kecekapan, selain meringankan beban mereka khususnya dalam keadaan ekonomi mencabar.

Selain itu, pihaknya menerima peruntukan sebanyak RM410 juta bagi pelaksanaan tujuh inisiatif utama di bawah program-program yang diatur kementeriannya.

“Kementerian akan terus memainkan peranan penting bagi melaksanakan Belanjawan 2021 dengan efektif,” katanya.