'Marilah kita balas jasa, budi Dr Noor Hisham, frontliners'


AZHAR AZIZAN
AZHAR AZIZAN
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persidangan Dewan Rakyat hari ini tegang seketika apabila ahli Parlimen blok pembangkang masih membangkitkan isu 80 orang ahli Parlimen yang dihadkan menyertai sidang pada satu-satu masa.

Ketegangan itu bermula apabila Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim membangkitkan perkara itu kepada Speaker Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun sebelum sesi perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2021 dimulakan.

"Saya ingin membangkitkan peraturan menghadiri sidang Parlimen yang memperuntukkan 80 orang (ahli Parlimen) sahaja (dibenar memasuki Dewan Rakyat) pada waktu sidang kita membahaskan bajet (Belanjawan 2021).

"Ini adalah bertentangan dengan peraturan undang-undang Perlembagaan Persekutuan dan saya mohon supaya peraturan ini ditarik balik," katanya di Dewan Rakyat, di sini hari ini.

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Dr Shahidan Kassim kemudian bangkit mencelah dengan mengatakan jumlah ahli Parlimen yang dihadkan itu dibuat atas nasihat Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Katanya, sekiranya Hassan tidak bersetuju dengan arahan itu beliau boleh membawa usul tidak bersetuju itu untuk diputuskan di Dewan Rakyat.

"Kalau kita hendak lawan KKM, kita isytihar kita lawan (bawa usul ke Dewan Rakyat) tetapi saya tetap sokong KKM supaya kita hadkan 80 orang (ahli Parlimen) dan ada prosedur operasi standard (SOP) di Parlimen," katanya.

Susulan itu, Azhar segera memberi respons dan mengatakan bahawa beliau tidak mahu lagi isu itu terus dibangkitkan kerana keputusan yang dibuat itu adalah secara konsesus.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dalam tempoh kebiasaan sebelum ini pun, tidak semua ahli Parlimen hadir sepenuhnya pada setiap sesi persidangan, malah katanya, ada waktu-waktu tertentu sukar untuk mendapatkan kuorum.

"Jadi apabila saya buat kita buat keputusan secara konsesus 80 orang ini, tiba-tiba perkara ini menjadi besar. Kenapa? Ini kita sudah buang masa membantah. Benda (had 80 orang) ini diputuskan secara konsesus.

"Marilah kita sama-sama membalas budi dan jasa baik dan titik peluh petugas barisan hadapan kita. Membalas jasa, budi Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang bertungkus-lumus selama tujuh bulan.

"Setiap malam, tanpa mengira hari dan cuti bekerja untuk mengawal penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19). Kita pun patut memberi keyakinan kepada beliau, frontliners kita dan beri kerjasama sepatutnya," katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan isu itu dimuktamadkan dan tidak dibangkitkan lagi oleh mana-mana ahli Parlimen.