11 maut serangan IS di selatan Baghdad

Gambar fail menunjukkan seorang askar Iraq melakukan kawalan di Anjana, kira-kira 10 kilometer dari bandar Amerli. - Foto AFP
Gambar fail menunjukkan seorang askar Iraq melakukan kawalan di Anjana, kira-kira 10 kilometer dari bandar Amerli. - Foto AFP
A
A
A

BAGHDAD - Sebuah kumpulan Negara Islam (IS) didakwa menyerang sebuah menara pemantau yang dikawal oleh sebuah pasukan tajaan kerajaan di selatan Baghdad yang menyebabkan 11 orang terbunuh lewat semalam, kata sumber-sumber keselamatan dan pasukan perubatan kepada AFP.

Anggota-anggota kumpulan itu melemparkan bom tangan dan melepaskan tembakan ke arah pasukan Hashed yang berpangkalan di Al-Radwaniyah dekat dengan sebuah lapangan terbang di Baghdad.

"IS menyerang menara pemantau, membunuh lima anggota pasukan suku kaum Hashed dan enam penduduk tempatan yang datang untuk membantu menangkis serangan tersebut," kata satu sumber keselamatan.

Satu sumber perubatan mengesahkan angka kematian itu kepada AFP dan menyatakan lapan orang telah dipindahkan ke sebuah hospital di tengah Baghdad.

Pada tahun 2014, IS menguasai satu pertiga Iraq dan merampas bandar-bandar besar di utara dan barat negara tersebut selain pernah tiba di pinggir Baghdad.

Selepas tiga tahun berperang dengan IS dengan dibantu oleh pasukan tentera perikatan diketuai AS, Iraq mengisytiharkan IS kalah pada tahun 2017.

Bagaimanapun, bilangan anggota tentera perikatan semakin berkurangan di negara itu.

Sebaliknya, anggota-anggota tentera perikatan dikumpulkan di tiga pangkalan utama di Baghdad, Ain al-Asad di barat Iraq dan Arbil di utara negara tersebut. - AFP

Artikel Berkaitan: