Covid-19: Semua SMAN seliaan JAIP ditutup

Keputusan penutupan SMAN seliaan JAIP dibuat selepas mesyuarat dan perbincangan berhubung perkara tersebut diadakan petang semalam.- Gambar hiasan
Keputusan penutupan SMAN seliaan JAIP dibuat selepas mesyuarat dan perbincangan berhubung perkara tersebut diadakan petang semalam.- Gambar hiasan
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) mengesahkan semua Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN) di bawah seliaannya ditutup mulai hari ini susulan penularan wabak koronovirus (Covid-19).

Pengarahnya, Datuk Zulkifle Ali berkata, penutupan itu membabitkan sebanyak 18 sekolah melibatkan pelajar seramai 8,650.

Menurutnya, keputusan itu dibuat selepas mesyuarat dan perbincangan berhubung perkara tersebut diadakan petang semalam.

"Hasil daripada perbincangan itu, semua pihak bersetuju untuk menutup SMAN seperti yang diarahkan oleh kerajaan Pahang.

"Proses penutupan SMAN yang terlibat akan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Zulkifle Ali
Zulkifle Ali

Semalam, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengumumkan semua sekolah termasuk Kolej Vokasional di seluruh negara ditutup bermula hari ini sehingga berakhir sesi persekolahan pada tahun ini.

Beliau berkata, ibu bapa juga sudah dibenarkan untuk mengambil anak mereka bermula semalam.

Artikel Berkaitan:

"Bagi ibu bapa atau penjaga yang datang dari kawasan zon merah, mereka boleh mengambil anak mereka secara sistem pandu lalu. Ini bermaksud ibu bapa tidak perlu turun daripada kenderaan mereka.

"Keadah ini dilakukan bagi memastikan semua SOP yang ditetapkan oleh kementerian diikuti sepanjang proses pulang pelajar," katanya.

Sebelum itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan negeri, Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad meminta JAIP meneliti dan melaksanakan arahan penutupan semua sekolah agama kerajaan Pahang, agama rakyat dan swasta seperti arahan Kementerian Pendidikan.

Katanya, ia bagi memastikan semua sistem pendidikan di Pahang mematuhi ketetapan kerajaan Persekutuan dalam mengekang penularan Covid-19.

Menurutnya, merujuk kepada peperiksaan Sijil Menengah Agama (SMA) pihak JAIP diminta meneliti kesesuaiannya dengan arahan kementerian untuk dilaksanakan.

"Namun, pembelajaran secara dalam talian di antara guru wajar dilaksanakan dan mestilah mendapat pemantauan oleh JAIP dan sekolah.

"Kita tidak mahu pelajar ketinggalan, sebaliknya memastikan mereka mampu menguasai pembelajaran ketika peperiksaan dilaksanakan," katanya.