Kemenangan Biden: Malaysia yakin hubungan Palestin-Israel lebih positif

Malaysia menjangkakan hubungan Palestin-Israel akan lebih positif di bawah pentadbiran Joe Biden. Gambar: agensi, gambar kecil: Kamarudin Jaafar
Malaysia menjangkakan hubungan Palestin-Israel akan lebih positif di bawah pentadbiran Joe Biden. Gambar: agensi, gambar kecil: Kamarudin Jaafar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia menjangkakan hubungan Palestin-Israel akan lebih positif di bawah pentadbiran Presiden baharu Amerika Syarikat (AS), Joe Biden.

Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, ia bersandarkan kenyataan-kenyataan positif yang dikeluarkan Biden berhubung isu berkenaan sebelum ini.

"Sudah tentu kita mempunyai dan meletak harapan (terhadap Biden) supaya adanya perubahan pentadbiran di AS.

"Malah, kita juga ada membaca kenyataan-kenyataan (Biden) sebelum ini yang memberi sedikit harapan positif untuk perubahan yang lebih baik dalam suasana (hubungan) Israel dan Palestin.

"Tetapi, apa pun kita harus berusaha supaya apa yang kita hajati dalam kalangan negara seluruh dunia untuk melihat Palestin terwujud sebagai sebuah negara yang bebas mestilah kita teruskan dengan adanya pentadbiran yang baharu di AS," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) mengenai pandangan Wisma Putra terhadap hubungan Palestin-Israel akan lebih baik atau sebaliknya di bawah pemerintahan Biden.

Terdahulu, Biden daripada parti Demokrat diangkat sebagai Presiden baharu AS selepas mengalahkan Donald Trump dalam pilihan raya presiden yang berlangsung baru-baru ini.

Artikel Berkaitan: