X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 01 Julai 2022

Kontraktor lesap RM107,000 diperdaya Macau Scam

Seorang kontraktor kerugian lebih RM107, 000 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara dan pegawai polis, pagi semalam. Gambar hiasan 123rf
A
A

BATU GAJAH- Seorang kontraktor kerugian lebih RM107, 000 selepas diperdaya oleh sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai Bank Negara dan pegawai polis, pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah ACP Ahmad Adnan Basri berkata mangsa yang berumur 45 tahun itu telah menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai 'Mr Lai' kononnya pegawai Bank Negara menerusi nombor 03-94165679, ketika berada di rumah di Kampung Baharu Chenderoh di sini.

Menurut Ahmad Adnan, lelaki itu memberitahu mangsa bahawa terdapat transaksi pembelian barangan di Lazada yang menggunakan kad kredit Ambank atas namanya berjumlah RM11,188.35, namun dinafikan mangsa.

"Selepas itu, panggilan disambungkan kepada bahagian penggubahan wang haram di Bukit Aman dan mangsa bercakap dengan seorang wanita bernama Than Kok Hwa yang memberitahu akaun kad kreditnya telah disalah guna dan dikehendaki hadir ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Selepas itu, mangsa memberitahu dia mempunyai dua akaun iaitu akaun Ambank dan akaun Hong Leong Bank sebelum diarah untuk ke mesin pengeluaran wang automatik (ATM) kedua-dua bank," katanya.

Ahmad Adnan berkata pengadu telah pergi ke ATM dan apabila selesai mengikuti arahan wanita itu, mangsa mendapati wang daripada akaun Hong Leong Bank dan Ambank telah berkurangan sebanyak RM107,996.95.

Katanya pengadu kemudian berasa tertipu sebelum membuat laporan polis di Balai Polis Batu Gajah pada pukul 6.15 petang semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!