‘Kami ikut keputusan MFL’

Aksi antara TFC dan PJ City FC pada pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidi malam kelmarin. - Foto Facebook TFC (Gambar kecil: Nokman Mustaffa)
Aksi antara TFC dan PJ City FC pada pusingan pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidi malam kelmarin. - Foto Facebook TFC (Gambar kecil: Nokman Mustaffa)
A
A
A

BEBERAPA pasukan yang layak ke saingan suku akhir TM Piala Malaysia sedia mematuhi sebarang keputusan dibuat Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) berhubung jadual dan venue perlawanan aksi berkenaan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA), Nokman Mustaffa berkata, pihaknya tidak akan mempersoalkan keputusan MFL kerana mahu memastikan kempen Piala Malaysia dapat ditamatkan segera sebelum kalendar 2020 berakhir.

“Kami akan ikut apa saja keputusan nanti dan kami juga tak mahu 'demand' lagi. Apa yang penting, Piala Malaysia tahun ini dapat dilangsungkan dan kemudian semua pihak terlibat boleh memikirkan pula untuk saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Menurutnya, kemungkinan saingan suku akhir akan dilaksanakan secara karnival, namun sudah tentu ia akan memberikan impak dari segi kos kepada beberapa pasukan.

“Mungkin ada pasukan yang terpaksa mengeluarkan bajet lebih. Situasi itu berbeza jika perlawanan dilangsungkan di gelanggang pasukan tuan rumah itu sendiri kerana tidak melibatkan kos yang agak tinggi.

“Apa pun seperti yang saya katakan awal-awal lagi kami tetap menerima apa saja keputusan dibuat MFL nanti dalam usaha mereka memastikan Piala Malaysia tahun ini dapat diselesaikan.

Sementara itu, pengendali Pulau Pinang, Manzoor Azwira Abdul Wahid berkata, beliau juga akan mematuhi keputusan daripada MFL bagi meneruskan saingan suku akhir Piala Malaysia.

Katanya, Harimau Kumbang juga sedia beraksi jika MFL memutuskan untuk melangsungkan perlawanan secara karnival bermula saingan suku akhir nanti.

Artikel Berkaitan:

“Setakat ini, belum ada sebarang keputusan dibuat MFL tetapi kami ikut saja apa juga arahan nanti. Sekiranya MFL membuat keputusan saingan Piala Malaysia selepas ini dilangsungkan secara karnival, kami akan patuh.

“Lagi pun perlawanan secara karnival ini bukan sesuatu yang asing kerana ia pernah dibuat pada saingan Liga Juara-Juara Eropah selain Liga Juara-Juara Asia (ACL) yang turut disertai Johor Darul Ta’zim (JDT),” jelasnya.

Kelmarin, kerajaan mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di seluruh negara kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan mulai 9 November hingga 6 Disember ini berikutan peningkatan kes pandemik koronavirus (Covid-19).

Pengumuman tersebut secara tidak langsung dilihat mencetuskan tanda tanya terhadap penganjuran Piala Malaysia musim ini yang julung-julung kali diadakan secara kalah mati bermula pusingan pertama.