X

Kindly register in order to view this article
!

Menariknya pilihan raya AS

A
A

BARU-BARU ini berlangsung pilihan raya umum di Amerika Syarikat (AS) melibatkan pemilihan Dewan Perwakilan Rakyat (House of Representatives), Senat dan yang paling penting untuk memilih Presiden AS.

Empat tahun lalu, Donald Trump mewakili parti Republikan berjaya menewaskan calon parti Demokrat, Hillary Clinton untuk dinobatkan sebagai Presiden AS.

Kali ini, pencabarnya ialah Joe Biden yang pernah berkhidmat sebagai Naib Presiden semasa Barrack Obama menjadi Presiden pada tahun 2008 hingga 2012.

Semasa rencana ini ditulis, media di Amerika membuat dapatan bahawa Biden berjaya memenangi jumlah Electoral Collage yang dibahagikan mengikut negeri-negeri walaupun pengiraan undi masih berjalan.

Tetapi untuk beberapa hari selepas pilihan raya, semua mata tertumpu kepada lima negeri yang masih mengira undi iaitu Pennsylvania, Georgia, Nevada, Arizona, North Carolina dan Alaska.

Untuk negeri-negeri berkenaan, perbezaan undi antara Trump dan Biden adalah terlalu rapat. Tidak dapat dipastikan dengan jelas siapa akan memenangi negeri-negeri tersebut.

Walaupun pandemik koronavirus (Covid-19) melanda AS, pilihan raya umum AS kali ini menyaksikan jumlah keluar mengundi paling banyak dalam sejarah.

Berdasarkan undi popular setakat ini, Biden sudah pun mendapat jumlah undi yang paling banyak dalam sejarah AS untuk mana-mana Presiden AS.

Isu paling utama bagi pengundi AS kali ini adalah wabak Covid-19. Sebahagian rakyat AS berasakan bahawa cara Trump mengendalikan pandemik penularan Covid-19 adalah teruk.

Wabak berkenaan menyebabkan ramai pengundi yang membuang undi mereka melalui undi pos.

Di sana, hak untuk membuang undi secara pos tidak dikhaskan kepada anggota keselamatan atau penjawat awam sahaja. Semua rakyat di sana mempunyai hak untuk mengundi melalui pos.

Itulah sebabnya mengapa pengiraan undi pada tahun ini mengambil masa yang begitu lama. Undi-undi yang dihantar melalui pos memerlukan masa yang lebih lama untuk dikira berbanding undi biasa.

Proses tersebut menyebabkan keputusan pilihan raya umum kali ini mengambil masa selama beberapa hari.

Pemilihan Presiden AS sentiasa mendapat perhatian dunia termasuklah kita di Malaysia. Presiden AS akan menentukan dasar luar AS.

Sudah tentu ada beberapa perkara asas yang tidak akan berubah walaupun Biden menjadi Presiden. Contohnya, AS akan terus menjadi sekutu penting Israel yang menindas warga Palestin.

Agresif

Bagaimanapun, dasar luar negara Trump lebih agresif. Ketika Trump menjadi Presiden, beliau memulakan perang dagang dengan China, mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Palestin dan menarik AS keluar daripada perjanjian perubahan iklim Paris.

Sudah tentu dasar luar AS akan dirasai oleh kita di Malaysia juga. Akhirnya, nampaknya kita tahu siapa bakal tinggal di Rumah Putih untuk empat tahun akan datang.

Ia membuktikan sekali lagi bahawa dalam mana-mana negara sekalipun, suara rakyat adalah suara keramat dalam demokrasi.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!