Berhutang atau simpan?

No Image Caption
A
A
A

SEJAK bermulanya penularan koronavirus (Covid-19) yang membawa kepada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Mac 2020, ramai yang terjejas terutama golongan B40, lebih-lebih lagi peniaga kecil dan ibu tunggal. Ramai yang terpaksa mengikat perut dan bertahan dengan apa sahaja yang ada.

Bahkan, kumpulan lain turut terjejas, apatah lagi apabila pusat ekonomi negara, Kuala Lumpur dan Selangor diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama dua minggu bermula 14 Oktober dan disambung selama dua minggu lagi sehingga hari ini.

Pada 1 April 2020, mereka yang berumur di bawah 55 tahun dan menyumbang kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dibenarkan membuat pengeluaran bulanan RM500 selama 12 bulan melalui program i-Lestari.

Bagaimanapun, ia tertakluk kepada baki akaun dua semasa bulan permohonan. Program itu dibuka kepada semua warganegara Malaysia dan penduduk tetap.

Sejak tahun 2013, pencarum KWSP di bawah umur 55 tahun juga boleh mengeluarkan caruman daripada akaun dua untuk menunaikan ibadah haji. Amaun yang dibenarkan hanyalah untuk menampung kos asas dan bukannya keseluruhan perbelanjaan sepanjang mengerjakan ibadah tersebut.

Selain itu, simpanan akaun dua juga boleh dikeluarkan untuk menampung kos pendidikan seperti yuran pengajian, juga bagi membina atau membeli rumah atau lot kedai dengan unit kediaman.

Kini, cadangan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya kerajaan membenarkan pengeluaran sehingga RM10,000 daripada akaun satu sedang hangat diperkatakan. Rata-rata rakyat mahu kerajaan melaksanakan cadangan tersebut kerana bagi mereka, duit yang mahu dikeluarkan itu adalah duit mereka.

Bagi kerajaan, seperti dikatakan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, cadangan itu sukar dilaksanakan kerana kerajaan bimbang mereka yang berbuat demikian akan berhadapan masalah yang lebih besar pada masa hadapan kerana KWSP merupakan simpanan untuk kehidupan selepas persaraan, apatah lagi sekiranya akaun dua pun sudah susut atau tidak berbaki.

Artikel Berkaitan:

Dilema

Bagi pihak yang menyokong pengeluaran daripada akaun satu, adalah lebih baik mengeluarkan simpanan untuk hari tua daripada berhutang. Kuasa beli rakyat juga boleh ditingkatkan, sekali gus baik untuk ekonomi negara.

Sekiranya tidak, hutang akan terus meningkat, lebih-lebih lagi jika kadar faedah yang dikenakan tinggi. Ia tidak termasuk denda jika tidak mampu membayar hutang mengikut tarikh dan kadar yang ditetapkan.

Ada juga pihak yang menegur, kenapa rakyat Malaysia tidak menyimpan? Kenapa harus ganggu simpanan persaraan dalam KWSP?

No Image Caption

Kebanyakan daripada kita terutama golongan B40 mempunyai pendapatan yang terhad sama ada cukup-cukup makan atau sering tidak cukup makan sehingga perlu berhutang.

Dalam keadaan sebegitu, apa yang patut diutamakan? Membayar hutang atau membuat simpanan untuk masa hadapan?

Ia adalah dilema bagi kebanyakan rakyat berpendapatan rendah. Walaupun mempunyai simpanan adalah penting, membebaskan diri daripada hutang juga amat penting.

Justeru, Islam amat menitikberatkan perihal hutang. Antara hadis berkaitan hutang bermaksud, “Jiwa seorang mukmin tergantung kerana hutangnya hingga hutangnya dilangsaikan.” (hadis riwayat Tirmidzi, Ibnu Majah dan Baihaqi). Hutang juga ditekankan dalam al-Quran, antaranya dalam ayat terpanjang iaitu ayat ke-282 surah al-Baqarah.

Ya, simpanan KWSP sememangnya penting untuk hari tua, namun esok pun belum pasti untuk kita. Ia mungkin perlu diambil kira dalam memutuskan kewajaran membenarkan pengeluaran daripada akaun satu – kepentingan melunaskan hutang berbanding esok yang tidak pasti.

Semoga ada jalan keluar bagi membantu mereka yang menghadapi kesukaran hidup yang mungkin telah diburukkan lagi dengan pandemik Covid-19.

*Dr Johari Yap ialah Naib Presiden Macma Malaysia dan Pengerusi Macma Kelantan