Kehilangan besar bola sepak negara

MOHAMAD - Foto FAMalaysiaOfficial
MOHAMAD - Foto FAMalaysiaOfficial
A
A
A

PEMERGIAN legenda bola sepak Malaysia, Datuk Mohamad Bakar hari ini merupakan satu kehilangan besar kepada sukan bola sepak negara.

Menurut hantaran Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dalam laman Facebook rasminya, Mohamad, 75, dilaporkan meninggal dunia ketika mendapat rawatan di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju, Universiti Sains Malaysia, Kepala Batas pada pukul 10.20 pagi tadi.

Beliau meninggalkan dua anak perempuan, Siti Marhanis dan Siti Mardiana berserta enam cucu. Isteri Allahyarham, Datin Siti Rahil Harris pula telah meninggal dunia beberapa tahun lepas.

Allahyarham sebelum ini dilaporkan pernah mendapat rawatan di Hospital Pulau Pinang akibat kegagalan sum-sum tulang.

Beliau dilahirkan di Singapura pada 25 Jun 1945 kepada pasangan Bakar Yahya dan Fatimah Ismail dan merupakan anak sulung daripada 10 beradik.

Seawal usia enam tahun, beliau mengikut bapanya yang merupakan seorang anggota polis berhijrah ke Pulau Pinang pada 1958, sebelum bakatnya dalam bola sepak dikesan oleh Jurulatih Ooi Ewe Choo yang juga Bendahari Persatuan Bolasepak Pulau Pinang (FAP) ketika beraksi untuk pasukan Muslim Recreation Club (MRC).

Beliau kemudiannya membantu Sekolah Campuran Pulau Pinang muncul juara di peringkat kebangsaan.

Allahyarham yang dikenali sebagai Ma Baker dalam kalangan rakan-rakan sepasukannya sempena tajuk lagu dendangan Boney M, pernah mewakili Pulau Pinang dari 1963 hingga 1975 dan pernah menjadi wira skuad Harimau Kumbang apabila menjaringkan gol kemenangan ketika menewaskan Perak 2-1 pada aksi final Piala Malaysia pada 1974 di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Artikel Berkaitan:

Veteran bola sepak, Shukor Salleh (kanan), Khalil Hashim (kiri) dan N Baskaran (dua dari kiri) hadir bagi memberikan penghormatan terakhir terhadap legenda bola sepak Allahyarham Datuk Mohamad Bakar di kediamannya di Taman Telok Molek, Telok Ayer Tawar hari ini. - Foto Bernama
Veteran bola sepak, Shukor Salleh (kanan), Khalil Hashim (kiri) dan N Baskaran (dua dari kiri) hadir bagi memberikan penghormatan terakhir terhadap legenda bola sepak Allahyarham Datuk Mohamad Bakar di kediamannya di Taman Telok Molek, Telok Ayer Tawar hari ini. - Foto Bernama

Di peringkat antarabangsa, Allahyarham yang beraksi di posisi sayap kanan skuad kebangsaan turut mengharumkan nama Malaysia kerana pernah beraksi di Sukan Olimpik 1972 di Munich, Jerman selain membantu Malaysia meraih gangsa pada Sukan Asia 1974 di Tehran, Iran. Allahyarham mengumpul 43 penampilan secara keseluruhan bersama skuad kebangsaan.

Kecemerlangan Allahyarham selaku pemain bola sepak, bagaimanapun, terhenti pada 1975 susulan kecederaan urat keting yang dialaminya, namun ia tidak membataskan minat Allahyarham yang mengambil keputusan untuk melanjutkan pelajaran dalam Ijazah Sarjana Muda dalam Pendidikan Jasmani di Universiti Pertanian Malaysia (kini dikenali sebagai Universiti Putra Malaysia).

Beliau kemudiannya melanjutkan pengajian peringkat Ijazah Sarjana dalam Pentadbiran Sukan di Universiti Ohio di Amerika Syarikat.

Sekembalinya dari Amerika Syarikat, Allahyarham diberi tanggungjawab selaku penolong ketua jurulatih kebangsaan pada 1979 yang menyaksikan Malaysia meraih pingat emas pada Sukan SEA di Jakarta.

Beliau turut membantu mendiang Karl Heinz Weigang merencana kemaraan Malaysia layak ke Sukan Olimpik 1980 di Moscow, sebelum dilantik sebagai jurulatih kebangsaan pada 1985 bagi menghadapi Kelayakan Piala Dunia 1986.

Allahyarham pernah dilantik sebagai ahli jawatankuasa teknikal Persatuan Bola Sepak Malaysia antara 1990-an hingga 2000-an, sebelum dilantik sebagai penasihat teknikal dan pengurus pasukan kebangsaan pada 2005.

Beliau juga pernah dilantik sebagai Setiausaha Kehormat dan Penasihat Teknikal Persatuan Bola Sepak Pulau Pinang.

Dalam kerjayanya sebagai seorang guru, beliau juga pernah dilantik sebagai Guru Penolong Kanan I Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sri Muda, Penaga, Seberang Prai Utara. - Bernama