PKPB: Rakyat Melaka digalak melancong dalam negeri

A
A
A

MELAKA TENGAH - Kerajaan Melaka mengambil inisiatif memperkenalkan 'Melakan Visit Melaka 2020’ sebagai usaha menyelamatkan sektor pelancongan daripada terus mengalami penguncupan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, promosi pakej pelancongan yang menyasarkan pengunjung dari negeri itu sebagai langkah efisien menggalakkan rakyat mengambil peluang melawat tempat-tempat menarik di sekitar bandar raya Melaka yang mempunyai pelbagai lokasi menarik.

Menurutnya, ia sekali gus memastikan sektor pelancongan dapat dihidupkan dan memberi pulangan langsung kepada pembangunan ekonomi negeri dan menjana pendapatan peniaga tempatan.

"Kira-kira 48 peratus sektor ini menyumbang kepada ekonomi negeri dan wajar diberi perhatian supaya pendapatan negeri juga tidak akan terjejas.

"Menerusi usaha ini saya yakin akan mampu menyelamatkan sektor terbabit di samping membolehkan sektor-sektor lain dapat dijalankan dengan sempurna tanpa dijejaskan dengan pelaksanaan PKPB," katanya selepas melancarkan ‘Melakan Visit Melaka 2020’ di Banda Hilir hari ini.

Hadir sama, Timbalan Pengerusi Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Akramuddin Abd Aziz; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka, Datuk Murad Husin dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Shaari Basiron.

Sulaiman turut mengumumkan promosi untuk rakyat Melaka melawat 18 tempat tarikan pelancongan dengan kadar diskaun sebanyak 50 peratus berbanding harga biasa sepanjang tempoh PKPB.

Antaranya ialah Melaka River Cruise, Muzium Hantu Melaka, sembilan muzium dan dua galeri di bawah Perzim, Mini Malaysia dan Asean Cultural Park, Zoo Melaka dan Rumah Terbalik Melaka.

Artikel Berkaitan:

Turut ditawarkan adalah pakej di Bayou Lagoon Water Park, Muzim Magic Art 3D, Monorail Melaka, Flyboard Melaka, Melaka Tropikal Fruit Farm, Taman Eko-Rimba Bukit Batu Lebah dan Bio Silver Asahan Water Theme Park.

Sementara itu, Sulaiman berkata, beliau akan mengemukakan cadangan dalam mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) negeri bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) supaya memberi sedikit kelonggaran terhadap sekatan merentas daerah susulan pelaksanaan PKPB.