Malaysia tunjuk komitmen lindungi lapisan ozon

Instrumen bagi ratifikasi tersebut telah dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 21 Oktober melalui Kementerian Luar.
Instrumen bagi ratifikasi tersebut telah dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada 21 Oktober melalui Kementerian Luar.
A
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia menunjukkan komitmen bagi melindungi lapisan ozon dalam menangani perubahan iklim dunia dengan meratifikasi Pindaan Kigali kepada Protokol Montreal mengenai Bahan Penipis Lapisan Ozon di bawah Konvensyen Vienna bagi Perlindungan Lapisan Ozon.

Dalam kenyataan hari ini, Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, instrumen bagi ratifikasi tersebut telah dikemukakan kepada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang berpusat di New York, Amerika Syarikat pada 21 Oktober melalui Kementerian Luar.

Beliau berkata, Pindaan Kigali itu telah berkuat kuasa pada 1 Januari 2019 dan sehingga kini, 110 buah negara telah meratifikasi pindaan tersebut termasuk Malaysia.

"Objektif utama Pindaan Kigali adalah bertujuan untuk mengurangkan penggunaan hidroflorokarbon (HFC) bagi membantu mengurangkan kesan perubahan iklim," katanya.

Menurutnya, HFC mempunyai Potensi Pemanasan Gobal (GWP) yang tinggi iaitu sehingga 14,800 kali ganda berbanding karbon dioksida (CO2).

Tuan Ibrahim berkata, pindaan itu telah dipersetujui semasa Mesyuarat Parti Protokol Montreal Ke-28 yang telah diadakan pada 15 Oktober 2016 di Kigali, Rwanda.

"Di bawah Pindaan Kigali, Malaysia perlu mengurangkan penggunaan HFC sebanyak 80 peratus daripada garis asas pada 2045. Penggunaan HFC akan dibekukan berdasarkan garis asas di Malaysia bermula pada 1 Januari 2024," katanya.

Tuan Ibrahim berkata, sejak awal 2017, kerajaan telah memulakan konsultasi mengenai ratifikasi Pindaan Kigali kepada Protokol Montreal bersama pihak yang berkepentingan termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan dan industri yang akan terkesan daripada pelaksanaan pengurangan penggunaan HFC.

Artikel Berkaitan:

"Industri yang terlibat termasuk sektor penyejukbekuan dan penyaman udara, sektor pemadaman api, sektor pelarut dan sebagainya," katanya.

Beliau berkata, kejayaan pelaksanaan pengurangan penggunaan HFC di bawah Pindaan Kigali dijangka dapat membantu mengurangkan kesan pemanasan global dengan jangkaan pelepasan gas rumah kaca yang bersamaan dengan 105 juta tan metrik gas karbon dioksida dapat dielakkan menjelang 2100 sekali gus mengelakkan peningkatan suhu global sebanyak 0.5 darjah selsius.

Selain itu, katanya ratifikasi itu juga akan membawa manfaat kepada negara termasuk akses perdagangan dengan negara-negara parti lain, sokongan kewangan di bawah Dana Pelbagai Hala (MLF) dan bantuan teknikal kepada industri tempatan untuk beralih ke teknologi rendah karbon alternatif yang terkini.

"Ini membuka peluang kepada industri tempatan untuk menghasilkan produk yang lebih kompetitif dan mampu bersaing di peringkat global pada masa akan datang," katanya. - Bernama