Kumulatif kes Covid-19 Sabah sudah cecah lebih 20,000 kes

Perkembangan harian Covid-19 Negeri Sabah berdasarkan pecahan kes mengikut daerah. (Masidi Manjun)
Perkembangan harian Covid-19 Negeri Sabah berdasarkan pecahan kes mengikut daerah. (Masidi Manjun)
A
A
A

KOTA KINABALU - Kumulatif kes positif koronavirus (Covid-19) di Sabah kini mencecah 20,422 kes susulan pertambahan sebanyak 524 lagi kes baharu hari ini.

Selain itu, Sabah juga mencatat jumlah kematian sebanyak 152 kes berikutan pertambahan dua lagi kematian hari ini di Tawau dan Sandakan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Seri Masidi Manjun berkata, daripada 524 kes baharu dilaporkan hari ini, sebahagian daripadanya adalah daripada jumlah hasil saringan kontak rapat di tiga daerah di negeri ini.

"Sebanyak 252 kes atau 48.09 peratus daripada 524 kes adalah dari Tawau, Kota Kinabalu dan Sandakan yang berpunca daripada saringan kontak rapat.

"Selebihnya iaitu 272 kes adalah daripada lain-lain kategori," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Masidi dalam pada itu turut memaklumkan bahawa Tawau mencatat kes tertinggi hari ini iaitu sebanyak 140 kes, diikuti Kota Kinabalu (135), Sandakan (119), Lahad Datu (37) dan Tuaran (30).

Keningau pula mencatat sebanyak 15 kes, selain Penampang dan Putatan masing-masing 11 kes, Papar (10), Kota Belud (tujuh), Semporna dan Kota Marudu (tiga), Telupid (dua) dan Sipitang (satu).

Beliau turut berkata, Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taman Semarak dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Balung di Tawau ditamatkan hari ini.

Artikel Berkaitan:

"Penamatan itu susulan penilaian risiko yang dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendapati situasi kes Covid-19 di kedua-dua lokaliti ini mencatatkan penurunan kes dan terkawal.

"Atas nasihat KKM, Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah bersetuju agar pelaksanaan PKPD di kedua-dua lokaliti ini ditamatkan hari ini seperti yang dijadualkan.

"Bagaimanapun, lokaliti ini masih tertakluk kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) seluruh Sabah yang sedang berkuat kuasa," katanya.