900 keluarga di kawasan PKPB Mukim Rasau terima bantuan

Hanafiah (tiga dari kanan) menghantar bantuan khas kepada penduduk Ketengah Jaya (Mukim Rasau) yang terlibat dengan PKPB di Dungun hari ini.
Hanafiah (tiga dari kanan) menghantar bantuan khas kepada penduduk Ketengah Jaya (Mukim Rasau) yang terlibat dengan PKPB di Dungun hari ini.
A
A
A

DUNGUN - Lebih 900 keluarga di Mukim Rasau di sini yang menjalani kuarantin diri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan di situ bermula semalam mula menerima agihan bantuan barangan keperluan daripada kerajaan negeri Terengganu.

Exco Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Terengganu, Hanafiah Mat berkata, barangan berkenaan akan disalurkan sebanyak empat hari sekali.

Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya menjangkakan jumlah bantuan itu akan meningkat susulan ujian saringan koronavirus (Covid-19) di kawasan berkenaan masih dijalankan.

“Bagi keluarga yang tidak terlibat dengan ujian saringan ini, mereka masih boleh keluar membeli barangan keperluan di kedai. Agihan bantuan ini hanya diberikan kepada keluarga yang terpaksa dikuarantin kerana mereka tidak boleh keluar rumah,” katanya ketika ditemui selepas menghantar bantuan khas berupa barangan kering dan basah kepada penduduk Ketengah Jaya (Mukim Rasau) yang terlibat dengan PKPB di sini hari ini.

Hanafiah berkata, Mukim Rasau mempunyai lebih 17,000 penduduk dan lebih 3,000 penduduk telah menjalani saringan Covid-19.

Mukim Rasau, Dungun menjadi daerah pertama di Terengganu yang dikenakan PKPB berkuat kuasa semalam susulan peningkatan kes positif Covid-19 di beberapa kawasan di mukim tersebut.

Susulan itu, sebanyak 73 institusi pendidikan di seluruh Dungun ditutup bermula semalam merangkumi sekolah rendah dan menengah, kolej vokasional serta sekolah swasta yang berdaftar dengan Kementerian Pendidikan (KPM).

Artikel Berkaitan: