Biro Siasatan Kemalangan Udara lakukan siasatan lanjut

Kelihatan sebuah helikopter yang sempat membuat pendaratan cemas dalam kejadian melibatkan dua helikopter. -Foto Bernama
Kelihatan sebuah helikopter yang sempat membuat pendaratan cemas dalam kejadian melibatkan dua helikopter. -Foto Bernama
A
A
A

AMPANG - Siasatan lanjut berhubung nahas dua buah helikopter di Taman Melawati di sini hari ini sehingga mengorbankan dua nyawa akan dibuat Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, bangkai helikopter berkenaan telah selesai diangkat dan dibawa ke Lapangan Terbang Subang untuk siasatan lanjut.

"Siasatan lanjut akan dibuat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) di bawah Kementerian Pengangkutan.

"Polis membuka siasatan kes ini di bawah mati mengejut (SDR)," katanya kepada pemberita di lokasi kejadian hari ini.

Beliau berkata, pihaknya juga sedang dalam proses merekod keterangan dua mangsa yang terselamat iaitu juruterbang, Datuk Ahmad Jauhari Yahya, 66, dan penumpang, Tan Chai Eian, 56.

Menurutnya, polis juga meminta saksi awam yang merakam kejadian untuk tampil ke Balai Polis Taman Melawati atau Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya untuk bantu siasatan.

"Siasatan juga masih dijalankan bagi mengenal pasti tujuan penerbangan itu dilakukan," katanya.

Dalam pada itu, Mohamad Farouk mengesahkan proses bedah siasat dua mayat mangsa nahas iaitu Mohd Irfan Mohamed Rawi, 41, dan bekas tentera laut, Leftenan Kolonel (B) Mohd Sabri Baharon, 56, akan dilakukan esok.

Artikel Berkaitan:

ARTIKEL BERKAITAN: 'Kami kenal jam arwah pakai'

BSKU mulakan siasatan nahas helikopter: MOT

Helikopter terhempas: Dua maut termasuk bekas tentera laut

Terdahulu, polis dimaklumkan mengenai kejadian terbabit selepas menerima panggilan daripada orang awam kira-kira jam 12 tengah hari.

Polis yang tiba di lokasi kejadian mendapati sebuah helikopter terhempas di kawasan sebuah sekolah, manakala sebuah lagi di kawasan berhampiran.

Nahas helikopter dalam kejadian di Taman Melawati di sini, hari ini. -Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI
Nahas helikopter dalam kejadian di Taman Melawati di sini, hari ini. -Foto Sinar Harian MOHD IZARI ROSLI

Siasatan awal mendapati dua buah helikopter yang dipandu Mohd Sabri dan Ahmad Johari itu berlepas dari Subang ke Genting Sempah.

Helikopter terbabit milik daripada syarikat yang sama iaitu My Heli Club.