PKPB: Tiada pembelian panik dikesan di Kedah

Stok telur ayam di sebuah pasaraya di sini masih memenuhi rak.
Stok telur ayam di sebuah pasaraya di sini masih memenuhi rak.
A
A
A

ALOR SETAR - Tiada pembelian panik dikesan di negeri Kedah susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikuatkuasakan selama empat minggu bermula jam 12.01 malam ini sehingga 6 Disember depan.

Tinjauan Sinar Harian di beberapa pasar raya di daerah ini mendapati jumlah pengunjung meningkat sejak pasar raya mula beroperasi pagi tadi tetapi ia tidak begitu sesak jika dibandingkan ketika pengumuman pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran pada 11 hingga 25 September lalu.

Kebanyakan mereka juga tidak membuat pembelian panik iaitu membeli barangan dalam jumlah yang banyak sehingga memenuhi troli.

Tinjauan Sinar Harian juga mendapati, stok barang keperluan seperti gula, telur, beras dan roti juga masih memenuhi rak.

Seorang pengunjung pasar raya, Halim Abdullah,69 berkata, dia tidak melakukan pembelian panik kerana pasar raya dan kedai-kedai runcit masih dibenarkan beroperasi dalam tempoh PKPB.

"Sebelum ini kalau kerajaan umum hendak laksana PKPD saja, saya pun panik juga memang beli barang rumah banyak-banyak.

"Tetapi sekarang kita dah faham ketua keluarga masih boleh keluar beli barang keperluan, jadi tak perlu nak beli barang rumah banyak-banyak untuk simpan," katanya ketika ditemui di sebuah pasar raya, hari ini.

Seorang suri rumah, Noni Saad, 44, berkata, dia hanya membeli barang keperluan termasuk ikan dan ayam untuk memasak pada hari ini di sebuah pasar raya berdekatan rumahnya.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah beberapa kali hadapi situasi macam ini, jadi tak perlu panik kerana semua premis masih dibuka dalam tempoh ini.

"Esok pun boleh beli lagi barang-barang keperluan, yang penting hari ini saya perlu membawa pulang anak saya dari sekolah berasrama penuh di Perlis terlebih dahulu," katanya.

Sementara itu, seorang peniaga, Mohd Syazwan Mohd Asri, 20 berkata, dia membuat pembelian barang niaga pada hari ini sebagai persediaan awal pelaksanaan PKPB.

Jumlah pengunjung juga tidak terlalu ramai seperti ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran pada 11 hingga 25 September lalu. (Gambar kecil: Mohd Syazwan)
Jumlah pengunjung juga tidak terlalu ramai seperti ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran pada 11 hingga 25 September lalu. (Gambar kecil: Mohd Syazwan)

"Saya menjual piza di Pekan Simpang Empat, jadi risau juga kalau-kalau ada pembelian panik daripada orang ramai mungkin stok barangan yang saya perlukan juga akan habis.Tapi Alhamdulillah, nampaknya keadaan masih terkawal.

"Setakat ini saya bercadang berniaga seperti biasa,namun sekiranya ada arahan terbaru daripada pihak berkuasa yang memerlukan saya tutup kedai, saya terpaksa akur," katanya.

Semalam, kerajaan mengumumkan melaksanakan PKPB di Kedah, Pulau Pinang, Perak, Negeri Sembilan, Melaka, Johor dan Terengganu bermula malam ini sehingga 6 Disember depan berikutan peningkatan kes Covid-19.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, PKPB di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor dan daerah-daerah terjejas di Sabah juga dilanjutkan selama 28 hari lagi.