Najib sudah tiada dalam kamus politik Malaysia: Mahfuz

A
A

Najib sudah tiada dalam kamus politik Malaysia: Mahfuz

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dianggap sudah tidak ada dalam kamus politik Malaysia walaupun beliau seorang negarawan.

Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar berkata, tindakan Ahli Parlimen Pekan itu yang menggunakan platform Facebook untuk 'troll' isu di negara ini memperlihatkan Najib sekadar menghibur dan membuatkan rakyat ketawa sahaja.

Mahfuz berkata demikian bagi mengulas kenyataan Najib di laman Facebooknya pada Rabu lalu yang hairan apabila namanya sering disebut-sebut oleh menteri-menteri dari Amanah sejak beberapa hari lalu.

Nama Mahfuz antara yang dipetik Najib kerana sebelum itu Mahfuz dalam satu kenyataannya menyifatkan Najib bukan penyumbang kepada kemenangan BN di PRK Cameron Highlands.

Bersih jangan jadi ‘perkakas’ PH

Pemuda Umno mengingatkan Bersih 2.0 supaya meneliti kembali perjuangan asal penubuhan badan bukan kerajaan (NGO) itu sekiranya tidak mahu dianggap sebagai ‘perkakas’ Pakatan Harapan.

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, ini kerana tuduhan yang dibuat NGO itu bahawa parti BN paling banyak melakukan kesalahan serta memainkan sentimen perkauman dan agama pada PRK Cameron Highlands dilihat senada dengan Pakatan Harapan.

Menurutnya lagi, sebagai NGO yang membawa misi ‘adil’ dan ‘bersih’mereka seharusnya perlu mengambil tindakan sama rata terhadap mana-mana parti yang melakukan kesalahan ketika kempen pilihan raya.

Bersih dalam satu sidang media semalam mendedahkan telah merekodkan beberapa salah laku dan kesalahan PRK Cameron Highlands yang membabitkan permainan sentimen bangsa, agama dan identiti politik.

PRK Semenyih: Jika calon BN ‘ok’, Pas akan sokong

PAS tidak menolak kemungkinan memberi sokongan kepada BN dalam pilihan raya kecil (PRK) DUN Semenyih yang akan diadakan, tetapi mahu melihat calon yang dipertaruhkan parti itu terlebih dahulu.

Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata demikian kepada Free Malaysia Today ketika ditanya mengenai pendirian parti itu sama ada akan menyokong BN di PRK Semenyih.

Pada 27 Januari lalu, PAS menyerahkan mandat kepada BN untuk menentukan calon dalam PRK Semenyih yang dijadual diadakan pada 2 Mac ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, walaupun pihaknya belum mengadakan mesyuarat, tetapi terserah kepada BN untuk meletakkan calon yang akan bertanding.

Asyraf Wajdi tanya Gobind bila mahu hapus tol

Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki terus membidas Kerajaan Pakatan Harapan (PH) apabila gagal untuk menunaikan janji menghapuskan tol.

Beliau secara sinis mengajukan persoalan tersebut kepada Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo yang sebelum ini lantang mengkritik Kerajaan BN mengenai isu tersebut.

Namun selepas PH menjadi kerajaan janji menghapuskan tol masih belum dilaksanakan.

Asyraf Wajdi turut memuat naik sebuah video berdurasi 29 minit yang memaparkan Gobind begitu lantang memperjuangkan isu tol.

Anih tawar diskaun tol 10 peratus

Pengguna Kelas 1, Lebuhraya Kuala Lumpur Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT 1) akan menikmati diskaun tol 10 peratus Selasa ini sempena sambutan perayaan Tahun Baharu Cina.

Anih Berhad iaitu pemilik konsesi bagi dua lebuhraya tersebut dalam kenyataannya hari ini berkata, pemberian diskaun itu berkuat kuasa dari 12 tengah malam hingga 11.59 malam Selasa.

Pengarah Eksekutifnya, Datuk Nik Fauzi Nik Hussein berkata, pemberian diskaun tol itu bertujuan menghargai pengguna Lebuhraya KLK dan LPT 1 untuk semua perayaan utama di Malaysia.