Trump selamba main golf selepas tewas

Trump (kiri) menghabiskan masa bermain golf di kelab persendirian miliknya di Trump National Golf Course di Sterling, Virginia semalam. - Foto Agensi
Trump (kiri) menghabiskan masa bermain golf di kelab persendirian miliknya di Trump National Golf Course di Sterling, Virginia semalam. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Presiden ke-45 Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengambil sikap tidak ambil peduli dengan kekalahannya apabila beliau dengan senang hati pergi bermain golf di kelab persendirian miliknya di Virginia ketika pesaingnya, Joe Biden diisytiharkan memenangi Pilihan Raya Presiden AS 2020 semalam.

Trump, 74, juga enggan menerima kenyataan bahawa beliau telah tewas di kubu kuat Republikan di Pennsylvania malah turut berjanji akan memfailkan tindakan undang-undang terhadap keputusan pemilihan itu yang berpihak kepada Demokrat.

Beberapa minit selepas pengumuman kemenangan Biden, bilionair hartanah terbabit dengan angkuh menyatakan pilihan raya tersebut masih belum berakhir dan beliau akan membuktikan di mahkamah beliau adalah 'pemenang sebenar'.

"Kita semua sedia maklum kenapa Biden tergesa-gesa diumumkan sebagai pemenang dan kenapa sekutu media berusaha keras untuk membantunya. Mereka tidak mahu kebenaran terbongkar.

"Undi yang sah yang akan menentukan siapa Presiden dan bukannya pihak media," kata Trump yang berterusan menuduh tanpa bukti kononnya pilihan raya tersebut dicemari dengan penipuan undi.

Menurutnya, Biden belum diperakui sebagai pemenang mana-mana negeri terutamanya di negeri yang menyaksikan kempen beliau memfailkan tuntutan undang-undang untuk menuntut proses kiraan semula undi.

"Bermula Isnin, kempen saya akan mula mengemukakan kes ini di mahkamah untuk memastikan undang-undang pilihan raya ditegakkan sepenuhnya dan pengisytiharan pemenang yang sah.

"Rakyat Amerika berhak untuk mendapatkan pemilihan yang jujur. Ini adalah satu-satunya cara untuk memastikan orang awam mempunyai keyakinan penuh terhadap pilihan raya negara ini," ujarnya seakan-akan cuba mencari alasan untuk melindungi kekecewaannya yang gagal mengekalkan pentadbiran penggal kedua di Rumah Putih.

Artikel Berkaitan:

Beberapa pakar berpendapat, Trump hanya mempunyai peluang tipis untuk mencabar keputusan itu memandangkan beliau sendiri tiada bukti berlaku penipuan undi di beberapa negeri seperti didakwanya berulang kali.

"Strategi litigasi Trump tidak akan ke mana-mana. Ia tidak akan mengubah keputusan pilihan raya," kata pakar undang-undang pilihan raya di University of California, Irvine, Richard Hasen. - Agensi