X

Kindly register in order to view this article
!

KPDNHEP rampas 1,713 barang berjenama tiruan

Saharuddin (tengah) menunjukkan barangan disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah dalam sidang akhbar di Stor Ekshibit KPDNHEP Negeri Terengganu, Chendering di sini hari ini.
A
A

KUALA TERENGGANU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu merampas sebanyak 1,713 barangan berjenama tiruan bernilai RM147,120 dalam serbuan di tiga premis pada Rabu lalu.

Pengarahnya, Saharuddin Mohd Kia berkata, serbuan dilakukan di Kuala Terengganu dan Kuala Nerus melibatkan rumah kediaman, kedai dan stor yang dijadikan lokasi penyimpanan barangan tiruan berupa kasut, baju dan aksesori disyaki dipakaikan cap dagangan secara salah.

Menurutnya, dalam operasi melibatkan 26 pegawai dan penguatkuasa KPDNHEP yang turut disertai wakil pemilik cap dagang berdaftar itu, pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 20-an dipercayai pemilik barangan tiruan terbabit.

“Operasi dijalankan susulan laporan daripada pemilik cap dagang berdaftar yang mengesyaki barangan djual suspek adalah tiruan dan ini merupakan rampasan terbesar di Terengganu setakat ini.

“Hasil risikan dan siasatan awal, suspek dipercayai sudah tiga tahun menjalankan aktiviti perniagaan ini selain turut menjadi pembekal,” katanya pada sidang akhbar di Stor Ekshibit KPDNHEP Negeri Terengganu, Chendering di sini hari ini.

Saharuddin berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 102 (1) (c) Akta Cap Dagangan 2019 iaitu mempunyai dalam milikan, jagaan atau kawalan barang-barang yang cap dagangan dipakaikan dengan salah bagi maksud perdagangan.

Sementara itu, beliau berkata, sejak Januari lalu sehingga kini, KPDNHEP Terengganu telah melakukan lapan operasi barangan tiruan di seluruh Terengganu melibatkan rampasan lebih RM448,000.

Beliau turut meminta orang ramai supaya lebih berhati-hati dan bijak memilih barangan berjenama dalam pasaran supaya tidak terpedaya dengan taktik peniaga yang cuba mengambil keuntungan melalui cara mudah.

“Orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan kesalahan itu melalui talian bebas tol 1-800-886-800, hubungi Pusat Arahan Penguatkuasaan di talian 03 8882 6088/ 6245, aduan melalui aplikasi WhatsApp 019-279 4317 atau secara atas talian http://eaduan.kpdnhep.gov.my,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!