Cadangan naikkan gaji ADUN dan Exco bukan isu

ADUN Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad ketika ditemui di luar dewan selepas Persidangan DUN Kelantan (Belanjawan) di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.
ADUN Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad ketika ditemui di luar dewan selepas Persidangan DUN Kelantan (Belanjawan) di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.
A
A
A

KOTA BHARU - Cadangan menaikkan gaji Exco Kerajaan Negeri dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di negeri ini bukanlah satu isu besar yang perlu dipolemikkan.

ADUN Kok Lanas, Datuk Md Alwi Che Ahmad berkata, cadangan itu sekiranya diluluskan dalam Belanjawan Kelantan 2021 akan membantu memberi manfaat kepada seluruh rakyat negeri ini.

Sehubungan itu, katanya, semua pihak perlu melihat perkara itu dari sudut yang berbeza kerana wakil rakyat tetap memerlukan dana untuk membantu menyelesaikan masalah rakyat.

"Contohnya apabila wakil rakyat beli lembu, bukannya dia yang mahu makan tapi dia beli untuk berikan kepada rakyat, untuk rakyat makan.

"Semua pihak kena tengok dari sudut yang berbeza. Kalau tengok di sudut lain, memang lain.

"Seperti sebelum ini, ada orang datang rumah saya minta rumah. masuk akal atau tidak? Tapi itulah realitinya. ada juga yang datang untuk minta dana anak nak masuk universiti dan macam-macam lagi. semuanya kena ada duit poket. Kalau tidak ada macam mana kita nak beri manfaat kepada rakyat.

"Benda seperti ini yang kita kena fikir. Lagipun perkara ini masih belum dibentangkan. Kita tunggulah nanti," katanya ketika ditemui di luar dewan selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan (Belanjawan) di Kompleks Kota Darul Naim di sini hari ini.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, Exco Kerajaan Negeri dan ADUN di negeri ini dijangka akan menikmati kenaikan gaji pokok sekitar RM3,000 hingga RM5,000 sekiranya diluluskan dalam Belanjawan Kelantan 2021.

Artikel Berkaitan:

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, cadangan penyelarasan dan kenaikan berkenaan dilihat wajar memandangkan terdapat perbezaan gaji yang agak ketara di Kelantan berbanding negeri-negeri lain.