GPMS minta sesi pengajaran dan pembelajaran untuk calon SPM diteruskan

MOHD ALIF ANAS
MOHD ALIF ANAS
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) meminta Kementerian Pendidikan (KPM) meneruskan sesi pengajaran dan pembelajaran bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2020 supaya mereka bersedia menduduki peperiksaan utama berkenaan.

Presidennya, Mohd Alif Anas Mohd Noor berkata, langkah itu perlu selaras dengan kerajaan yang mengumumkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bermula esok hingga 6 Disember depan.

Pada masa sama, katanya, sesi persekolahan di seluruh negara akan ditutup bermula 6 hingga 17 Disember 2020.

“Ini bermakna berlaku kekangan yang sangat besar bagi calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun ini untuk melalui sesi pembelajaran secara bersemuka dengan guru sehingga akhir tahun 2020,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohd Alif Anas berkata, GPMS menyambut baik langkah yang KPM dalam mengelakkan penularan wabak koronavirus (Covid-19) dalam kalangan pelajar sekolah.

Justeru, beliau berharap KPM akan meneruskan dan menambah baik program TV Pendidikan yang dijalankan sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu.

“GPMS mengharapkan program TV Pendidikan itu diperluaskan kepada semua stesen televisyen bagi memastikan semua pelajar dapat mengikuti program TV Pendidikan itu dengan lebih berkesan.

"Semoga semua pelajar dan guru akan terhindar daripada wabak Covid-19 dan negara Malaysia akan bebas wabak itu dengan segera," katanya.

Artikel Berkaitan: