X

Kindly register in order to view this article
!

1,929 aduan keganasan rumah tangga sejak PKP

Aduan yang diterima menerusi Talian Kasih 15999 itu melibatkan kes keganasan fizikal, emosi dan seksual. (Gambar kecil: Rina Harun)
A
A

MUAR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat menerima sebanyak 1,929 aduan berhubung kes keganasan rumah tangga sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mula dilaksanakan pada 18 Mac lepas.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada keseluruhan aduan itu, Selangor dan Johor merupakan negeri tertinggi yang mencatatkan kes dengan masing-masing sebanyak 375 dan 264 aduan.

Bercakap kepada media selepas melawat Depot Keperluan Bencana Zon Selatan di Parit Keroma di sini hari ini, beliau berkata, aduan yang diterima menerusi Talian Kasih 15999 itu melibatkan kes keganasan fizikal, emosi dan seksual.

“Sebab itu di dalam Belanjawan 2021, kita menyediakan Pusat Sokongan Sosial Setempat untuk memberikan perlindungan kepada mangsa yang mana projek rintisnya akan dimulakan di Johor dan Selangor,” katanya.

Pembentangan Belanjawan 2021 pada Jumaat lepas menyaksikan antara lain kerajaan mengumumkan peruntukan RM21 juta bagi menyediakan pusat sokongan sosial setempat sebagai usaha menangani isu keganasan rumah tangga.

Pusat yang akan dikendali dengan kerjasama pertubuhan bukan kerajaan itu menyediakan perlindungan sosial serta sokongan moral kepada golongan wanita bagi mendepani masalah keganasan rumah tangga, penceraian dan penderaan.

Dalam perkembangan lain, Rina berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan menambah baik persiapan untuk menghadapi banjir di seluruh negara tahun ini agar selari dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk membendung penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, penambahbaikan itu antara lain termasuk tidak lagi menyediakan makanan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan sementara (PPS) secara gotong-royong sebaliknya membekalkan pek makanan kepada mereka dan menambah bilangan PPS di seluruh negara.

“Tahun lepas, jumlah PPS di seluruh negara adalah sebanyak 5,422 buah dengan Johor sahaja mempunyai 679 buah. Kali ini, bilangannya akan kita tambah kira-kira 10 peratus bergantung kepada keperluan, kawasan dan jangkaan cuaca dari Jabatan Meteorologi,” katanya.

Rina berkata, JKM juga akan menyediakan katil khas untuk mangsa yang bergejala batuk dan demam bagi membolehkan mereka diasingkan daripada mangsa lain di pusat pemindahan.

“Pada masa sama, kita turut akan menempatkan satu atau dua keluarga di setiap bilik darjah sekolah yang dijadikan sebagai PPS, bergantung kepada saiz kelas,” katanya.

Katanya, persiapan banjir kali ini secara keseluruhan akan melibatkan peruntukan kira-kira RM65 juta dan memberi jaminan bahawa barangan keperluan untuk mangsa setakat ini adalah mencukupi. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!