Data lengkap mudahkan penyaluran bantuan: MB Johor

Hasni (kiri) diberi penerangan selepas merasmikan Sesi Townhall Jelajah Makmur Johor di Dewan Serbaguna Segamat, Segamat hari ini.
Hasni (kiri) diberi penerangan selepas merasmikan Sesi Townhall Jelajah Makmur Johor di Dewan Serbaguna Segamat, Segamat hari ini.
A
A
A

SEGAMAT - Agensi dan jabatan kerajaan termasuk penghulu dan ketua kampung di daerah ini diminta mengumpul data penduduk di kawasan masing-masing bagi memudahkan penyaluran bantuan kepada golongan sasar khususnya B40 dan M40.

Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad berkata, data yang lengkap akan membantu kerajaan negeri memberikan tumpuan khusus terhadap usaha membantu golongan berkenaan.

"Kita kena kumpul maklumat, kenali mereka, siapa yang susah, siapa yang perlu bantuan, apa bentuk kesusahan mereka dan bagaimana bentuk bantuan yang kita hendak sampaikan.

"Kita hendak bagi bantuan tunai amat payah sebab kita tiada data yang lengkap. Kalau saya tanya Pegawai Daerah siapa golongan M40 yang memerlukan bantuan. Siapakah mereka," katanya berucap dalam Sesi Townhall Jelajah Makmur Johor di sini hari ini.

Sebelum ini terdapat rungutan dalam media sosial daripada kalangan rakyat khususnya M40 yang merasakan mereka tertinggal dan tidak mendapat manfaat daripada pembentangan Belanjawan 2021.

Hasni berkata, kerajaan Johor juga pada masa sama akan menambah baik kaedah penyampaian bantuan kepada golongan sasar terutama yang terkesan dengan koronavirus (Covid-19).

Hasni ketika berucap dalam Sesi Townhall Jelajah Makmur Johor di Dewan Serbaguna Segamat, Segamat hari ini.
Hasni ketika berucap dalam Sesi Townhall Jelajah Makmur Johor di Dewan Serbaguna Segamat, Segamat hari ini.

Menurut beliau, pegawai dan kakitangan kerajaan akan sedaya upaya mengenal pasti data golongan yang terkesan.

Artikel Berkaitan:

"Tumpuan harus juga diberikan kepada golongan belia termasuk mereka yang menjalankan perniagaan atau yang diberhentikan kerja.

"Walaupun hanya satu kilang sahaja memberhentikan 10 pekerja akibat terkesan dengan kelembapan ekonomi di daerah Segamat, namun ia bukanlah perkara yang perlu diambil ringan kerana keadaan ini mampu merebak dan memberi kesan yang meluas," katanya.

Beliau turut melahirkan perasaan sedih apabila wujud beberapa kekangan yang tidak dapat dielakkan dalam pengagihan dan penyampaian bantuan yang sebelum ini disalurkan kepada rakyat di negeri ini.

"Menjelang Bajet Johor 2021 yang bakal dibentangkan oleh kerajaan negeri kelak, kita akan cuba sedaya upaya menambah baik sistem penyampaian bantuan," katanya.