Boleh bahas isu Jasa di Dewan Rakyat

Takiyuddin
Takiyuddin
A
A
A

ALOR SETAR - Semua ahli Parlimen mempunyai ruang untuk membahaskan Belanjawan 2021 pada Sidang Dewan Rakyat sehingga 15 Disember depan termasuk membabitkan isu Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) yang sedang hangat diperkatakan ketika ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, perkara tersebut terbuka untuk dibahaskan oleh semua pihak sama ada kerajaan dan pembangkang.

"Perkara lain juga ada diperuntukkan (dalam Belanjawan 2021), namun mengapa hanya satu agensi dipersoalkan? Apa pun pihak pembangkang ataupun kerajaan boleh membahaskannya perkara ini di Parlimen.

"Kita peruntukkan selama lapan hari untuk perbahasan di peringkat dasar dan 11 hari untuk peringkat jawatankuasa.

"Sehingga 15 Disember ini, ahli-ahli Parlimen boleh membahaskannya dan menyerahkan kepada kerajaan untuk menjawab kemudian," katanya selepas Majlis Perjumpaan Bersama Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor di Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan beberapa pemimpin pembangkang termasuk ahli Parlimen daripada kerajaan yang mempertikaikan kewujudan semula Jasa dan mahu penjelasan diberikan kerana melibatkan peruntukkan RM81 juta.

Jasa dibubarkan selepas Pakatan Harapan (PH) menang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada Mei 2018 sebagai langkah berjimat cermat.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, Belanjawan 2021 yang diumumkan adalah belanjawan yang luar biasa dan diperlukan dalam suasana luar biasa.

Artikel Berkaitan:

"Dalam keadaan suasana normal baharu, belanjawan ini tidak boleh dibandingkan dengan belanjawan-belanjawan lain. Keutamaan kepada kerajaan Persekutuan kini adalah untuk membantu rakyat.

"Belanjawan 2021 banyak melibatkan bantuan yang memang kita jangka tidak dapat pulangan kerana kita lebih pada bantuan untuk rakyat. Kita yakin ini adalah belanjawan yang baik dan perlu diterima.

"Perkara ini selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah," katanya.