X

Kindly register in order to view this article
!

Morbidelli, Quartararo bergelut

Franco Morbidelli
A
A

PETRONAS Yamaha Sepang Racing Team (Petronas Yamaha SRT) melalui hari sukar yang menyaksikan dua pelumba - Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo bergelut dengan keadaan tidak menentu di Litar Ricardo Tormo, Valencia, Sepanyol.

Morbidelli yang menduduki tempat kesembilan selepas merekod masa satu minit 41.557 saat pada sesi kelayakan akan bermula dari barisan ketiga manakala rakan sepasukan Quartararo pula bermula dari barisan keempat selepas menduduki tempat ke-11 dengan 1:41.943s.

“Kami memilih pilihan tayar lembut dan berusaha untuk memaksimumkan penggunaannya, jadi kedudukan kesembilan tidak terlalu buruk. Saya bermula dari barisan ketiga pada perlumbaan hari ini dan jika berjaya meloloskan diri, kami dapat melonjak ke kedudukan lebih baik pada pusingan awal.

“Ia agak aneh, dengan keadaan cuaca yang berubah namun ia adalah hari yang baik. Kami perlu segera menyesuaikan diri dan saya rasa cukup baik ketika sesi latihan bebas. Saya tidak gembira ketika sesi kelayakan, namun P9 adalah okay dan kami boleh fokus kepada perlumbaan,” kata pelumba kelahiran Itali itu.

Quartararo yang turut bergelut di litar semalam berkata pasukannya mencuba pelbagai cara dalam keadaan litar basah bagi memahami cara untuk meningkatkan keupayaan jentera. Pada awalnya, kami mendapat rentak yang sama namun kemudiannya didapati tidak mencapai tahap yang dikehendaki.

“Setiap pelumba meningkat di penghujung sesi kelayakan, namun kami hanya di kedudukan ke-11. Kami perlu menganalisis data untuk memahami keadaan, namun saya mengharapkan cuaca yang lebih baik ketika perlumbaan hari ini.

“Walaupun tidak merasai keadaan litar kering, saya yakin set up asal adalah baik dan saya tidak bimbang mengenai perkara itu. Saya perlu lakukan yang terbaik dan lihat di mana kita berakhir,” katanya.

Perlumbaan GP Eropah bermula pada 10 pagi waktu tempatan (5 petang waktu Malaysia). - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!