30 tahun tinggal di pondok usang serba daif

Abdul Wahab ketika ditemui di sebuah pondok usang di Kampung Lubuk Pusing, Bagan Terap, Sungai Besar hari ini. Pondok berkenaan menjadi rumahnya sejak 30 tahun lalu.
Abdul Wahab ketika ditemui di sebuah pondok usang di Kampung Lubuk Pusing, Bagan Terap, Sungai Besar hari ini. Pondok berkenaan menjadi rumahnya sejak 30 tahun lalu.
A
A
A

SUNGAI BESAR - Sebuah pondok usang serba daif, dikelilingi pokok kelapa sawit serta hutan menjadi tempat penginapan seorang lelaki di Kampung Lubuk Pusing, Bagan Terap di sini sejak 30 tahun lalu.

Abdul Wahab Abdullah, 60, hidup bersendirian di pondok tersebut tanpa kemudahan bekalan air dan elektrik serta jauh dengan penempatan penduduk.

Menurut Abdul Wahab, dia menetap di situ kerana tidak mahu bergantung harap kepada sesiapa kerana masih mempunyai kudrat meneruskan kehidupan.

"Saya tidak mahu berpindah biarpun ada bantuan daripada mana-mana pihak kerana sudah selesa tinggal di sini.

"Rumah saya hanya diterangi pelita minyak tanah selain menggunakan air perigi terletak kira-kira 200 meter dari rumah untuk kegunaan minuman dan mandi," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Abdul Wahab berkata, dia mahu menghabiskan sisa hidupnya di pondok yang dibina dengan menggunakan kayu, manakala atap dan dinding pula diperbuat daripada rumbia yang dianyam.

“Pondok ini kecil sahaja tapi cukuplah untuk saya berteduh. Saya memasak di luar menggunakan kayu api," katanya.

Menurutnya, sebelum ini dia pernah menetap dan bekerja di Kuala Lumpur, namun mengambil keputusan berpindah ke situ disebabkan ada urusan peribadi.

Artikel Berkaitan:

"Ramai pihak hendak beri sumbangan, tapi saya menolak kerana bagi saya biarlah wang itu diberikan kepada mereka yang lebih memerlukan.

"Saya masih boleh bekerja menjual jala ikan dan sagu di Parit 13 Sungai Panjang di sini pada setiap minggu meskipun pendapatan tidak menentu," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa (AJK) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Bahagian Sabak Bernam, Selamat Dalip berkata, pihaknya amat bersimpati dengan nasib dialami Abdul Wahab yang hidup bersendirian.

Beliau berkata, pelbagai pihak ingin menghulurkan sumbangan termasuk membina kediaman lebih selesa.

Malah, katanya, Ahli Parlimen Sabak Bernam, Datuk Mohd Fasiah Mohd Fakeh turut menawarkan bantuan ekonomi melalui projek tanaman kelapa sawit.

"Pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan berkaitan pernah datang untuk menghulurkan bantuan tetapi semua ditolak Abdul Wahab yang ingin hidup serba sederhana," katanya.