Belanjawan 2021 Sabah: Bersatu Sabah tubuh pasukan khas

Khairul Firdaus Akbar
Khairul Firdaus Akbar
A
A
A

KOTA KINABALU - Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah telah menubuhkan pasukan khas untuk merumuskan syor serta cadangan kepada kerajaan negeri berhubung pengisian Belanjawan 2021 Sabah yang akan dibentang November ini.

Ketua Penerangannya, Khairul Firdaus Akbar berkata, perkara itu dibincangkan dalam mesyuarat BPN Bersatu Sabah yang diadakan semalam.

"Satu Pasukan Petugas Khas BPN Bersatu Sabah telah dibentuk untuk merumuskan syor dan cadangan kepada kerajaan negeri berhubung input dan pengisian Belanjawan 2021 Sabah yang akan dibentangkan dalam bulan November ini.

"Mesyuarat bersetuju agar antara teras utama yang perlu dipertimbangkan adalah kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta ketahanan ekonomi negeri dalam menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19)," katanya dalam satu kenyataan media di sini hari ini.

Khairul berkata, beberapa perkara turut dibincangkan dalam mesyuarat itu termasuk mengambil tindakan segera bagi membantu petugas kerajaan menyampaikan bantuan kepada rakyat dengan lebih berkesan.

"Mesyuarat ini adalah untuk mendapatkan maklum balas akar umbi berhubung masalah rakyat khususnya dalam menghadapi penularan pandemik Covid-19.

"Antara yang diperoleh adalah keperluan untuk meningkatkan keberkesanan mekanisme penyampaian bantuan kepada golongan yang terjejas di semua peringkat," katanya.

Sehubungan itu, Khairul berkata, beberapa tindakan segera harus dilaksanakan termasuk menambah penglibatan jentera penyampaian untuk membantu petugas kerajaan sedia ada daripada Pejabat Daerah, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, sistem pengesanan golongan rakyat yang terjejas akses dan sumber keperluan makanan juga perlu diperkemaskan," katanya.

Dalam pada itu, katanya, mesyuarat juga membincangkan maklum balas terhadap inti pati Belanjawan 2021 peringkat Persekutuan.

"BPN Sabah merakamkan jutaan terima kasih kepada kerajaan Persekutuan atas keprihatinan dan bantuan berterusan kepada negeri dan rakyat Sabah," katanya.

Terdahulu, mesyuarat diadakan bagi membincangkan pelbagai perkara susulan permintaan Ketua BPN Bersatu, Datuk Seri Hajiji Mohd Noor kepada 25 Bahagian Bersatu di negeri ini.