Sabah pungut cukai daripada Petronas tahun depan

Jeffrey
Jeffrey
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan Sabah akan mendapat dana sebanyak RM1.25 bilion atau lima peratus menerusi pungutan Cukai Jualan Produk Minyak dan Gas daripada Petronas bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata, perkara itu telah dikemukakan dan mendapat persetujuan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Menurutnya, hasil RM1.2 bilion ini akan dibayar secara terus oleh Petronas, ia tidak termasuk dalam Belanjawan 2021, namun peruntukan itu akan dimasukkan dalam belanjawan Sabah.

"Kerajaan negeri juga akan turut memungut cukai jualan lima peratus daripada syarikat minyak dan gas lain yang beroperasi di Sabah.

"Ini adalah satu berita baik dan Sabah akan mempunyai lebih banyak dana untuk dibelanjakan bagi melaksanakan pembangunan infrastruktur, pembangunan sumber manusia serta pembangunan ekonomi di negeri ini," katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Beliau berkata, kerajaan negeri juga telah menulis surat kepada Muhyiddin bagi mendapatkan dana RM500 juta bagi memenuhi Perlembagaan Persekutuan.

"Di bawah Jadual 10, Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan, kerajaan Persekutuan seharusnya memberikan 40 peratus hasil yang dikutip oleh Persekutuan kepada Sabah.

"Peruntukan RM500 juta itu jauh lebih baik berbanding geran khas berjumlah RM53.4 juta yang dibayar kepada Sabah ketika pemerintahan kerajaan Pakatan Harapan (PH)," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, perjanjian antara kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) dan kerajaan PH tidak sempurna. Peruntukan berjumlah RM53.4 juta untuk tempoh empat tahun dan RM106.8 juta bagi tahun kelima bermakna kita tidak mempunyai ruang untuk perundingan bagi tempoh lima tahun.

"Ini hanya akan mengakibatkan kerugian besar kepada hasil Sabah. Memandangkan kerajaan Persekutuan mengembalikan geran khas kepada RM26.7 juta, kita tidak mempunyai ruang untuk berbincang bagi meminta peruntukan yang lebih tinggi. Ini merupakan hak kita.

"Apa yang lebih penting, ini akan memberi kita peluang untuk memperbaiki kesilapan kerajaan Warisan," katanya.