Bawa bas sekolah, agih air mineral kepada penduduk terjejas

Mohd Zatullah menghantar air mineral dengan bas sekolah untuk kegunaan penduduk yang terjejas bekalan air di Port Dickson.
Mohd Zatullah menghantar air mineral dengan bas sekolah untuk kegunaan penduduk yang terjejas bekalan air di Port Dickson.
A
A
A

PORT DICKSON - Tersentuh melihat sebahagian penduduk Port Dickson yang berdepan gangguan bekalan air sejak Rabu lalu mendorong Pusat Jagaan Anak-Anak Yatim Walidaina (PUJAYWA) Senawang untuk mengagihkan air mineral percuma.

Mohd Azuan
Mohd Azuan

Pengasasnya, Mohd Zatullah Kamarudin, 29, memandu sendiri bas sekolah ke Lukut dan Kampung Pachitan di sini bagi menghantar bekalan air yang diminta penduduk.

"Saya tersentuh apabila penduduk hantar mesej bahawa mereka sangat mengharapkan bantuan air minuman dan air bersih kerana ada yang dakwa lori syarikat air tak masuk ke kawasan mereka.

"Ada yang terpaksa keluar jauh untuk cari lori syarikat air dan terpaksa mengangkutnya dengan kenderaan. Kami ada kemudahan bas dan van, jadi saya gunakan untuk menghantar air kepada penduduk terjejas," katanya di sini hari ini.

Sehingga kini, katanya, sebanyak 500 kotak air mineral dan lebih 10 botol air bersih disumbangkan kepada penduduk di kawasan Lukut dan Pachitan.

Mohd Zatullah berkata, inisiatif itu diambil sebagai salah satu tanggungjawab sosial pihaknya kepada masyarakat.

Mohd Zatullah menghantar air mineral dengan bas sekolah untuk kegunaan penduduk yang terjejas bekalan air di Port Dickson.
Mohd Zatullah menghantar air mineral dengan bas sekolah untuk kegunaan penduduk yang terjejas bekalan air di Port Dickson.

Artikel Berkaitan:

"Kami (PUJAYWA) tidak kaya, tapi mahu kongsi rezeki. Kita bantu mudahkan urusan orang, ALLAH akan bantu mudahkan urusan kita.

"Macam air bersih ini, anak-anak yatim di pusat jagaan saya sama-sama membantu menadah air ke dalam botol untuk dihantar kepada penduduk," katanya.

Sementara itu wakil penduduk, Mohd Azuan Anuar, 37, berkata, sejak ketiadaan air Rabu lalu, hanya pada jam 2 pagi tadi lori menghantar bekalan air datang ke kawasan berkenaan.

"Bayangkan dari hari pertama tiada air, hanya awal pagi tadi dua lori baru masuk sini. Sehingga jam 4.30 pagi jugalah kami ramai-ramai angkut air.

"Tapi kasihan kepada warga emas hendak angkut air kerana lori ini hanya berhenti di tepi jalan dan tidak masuk ke sampai ke dalam.

"Sudahlah kawasan kami ini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sejak semalam. Saya rasa dah macam duduk dalam keadaan darurat ditambah dengan masalah Covid-19 lagi," katanya.

Air mineral yang diterima akan diagihkan kepada penduduk.
Air mineral yang diterima akan diagihkan kepada penduduk.

Sehubungan itu, beliau berharap agar Syarikat Air Negeri Sembilan (Sains) dapat membuat penghantaran air dari lorong rumah ke rumah bagi memudahkan penduduk mengangkat air.

Mohd Azuan bagaimanapun tidak menggalakkan Sains meletakkan tangki statik kerana akan menyebabkan penduduk berpusu-pusu mengambil air sehingga melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Kami memahami masalah, tapi tolonglah perbaiki kaedah penghantaran air ini.

"Kami juga nak ucapkan terima kasih kepada PUJAYWA yang sudi beri sumbangan air minuman kepada penduduk di sini. Walaupun tak banyak, tapi sangat-sangat membantu," katanya.