Pengecualian cukai beli bas tidak banyak bantu pengusaha

Che Ibrahim Che Ismail
Che Ibrahim Che Ismail
A
A
A

KOTA BHARU - Pengecualian cukai pembelian bas baharu yang diumumkan kerajaan menerusi Belanjawan 2021 kelmarin tidak banyak membantu pengusaha bas kerana mereka masih berdepan dengan kesan pandemik koronavirus (Covid-19).

Presiden Persatuan Pengusaha Bas Kelantan, Che Ibrahim Che Ismail berkata, beliau berterima kasih dengan peruntukan yang diumumkan kerajaan itu, ia masih tidak dapat menyelesaikan masalah kewangan dihadapi pengusaha bas.

Ketika ini, katanya, pengusaha bas lebih memikirkan cara mahu menampung kos dan meneruskan operasi dalam keadaan pendapatan yang merosot.

“Para pengusaha memahami keperluan dan tidak membantah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan kerajaan bagi membendung dan memutuskan rantaian wabak Covid-19.

“Bagaimanapun, pelaksanaan ini haruslah seiring dengan pelan bantuan yang bersesuaian daripada pihak kerajaan bagi membantu para pengusaha bas yang terkesan.

“Saya merayu agar kerajaan mempertimbangkan pemberian moratorium kepada semua pengusaha bas diteruskan sehingga secara umumnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19 ini ditamatkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Che Ibrahim yang juga Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad berkata, moratorium juga hendaklah diberikan tanpa bersyarat kepada para pengusaha bas melibatkan bukan sahaja institusi perbankan, malah syarikat-syarikat kredit.

Menurutnya, faedah yang dikenakan akibat penjadualan semula pinjaman daripada bank dan syarikat kredit juga perlu dikecualikan.

Artikel Berkaitan:

“Saya memohon agar pihak kerajaan dengan kuasa yang ada mengarahkan semua institusi perbankan dan syarikat kredit untuk memberi moratorium kepada para pengusaha bas seperti cadangan yang telah disebut di atas,” katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di seluruh Malaysia sehingga 31 Disember ini mengakibatkan para pengusaha mengalami kemerosotan pendapatan yang sangat ketara.

“Ia mengakibatkan para pengusaha bas mengecilkan operasi. Ada yang terpaksa memberhentikan operasi bagi mengelakkan daripada menanggung kerugian akibat ketiadaan penumpang.

“Ada juga pengusaha kecil yang terpaksa menutup syarikat kerana tidak mampu untuk menanggung kos operasi dan lain-lain komitmen bulanan kepada pihak perbankan dan syarikat kredit,” katanya.

Menurut beliau, bagi pengusaha yang beroperasi, jumlah perjalanan harian pula terpaksa dikurangkan menyebabkan puluhan dan ratusan pekerja mereka terpaksa diberhentikan.

“Keadaan ini menjadi semakin meruncing apabila PKPB dilaksanakan di Putrajaya, Kuala Lumpur dan Selangor bermula 27 Oktober lalu.

“Selain itu, saya juga memohon agar kerajaan mengkaji semula kelayakan pengusaha untuk menerima Program Subsidi Upah (PSU) di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Rakyat (Prihatin).

“Had bilangan pekerja yang layak menerima faedah PSU ini tidak harus dihadkan kepada 200 orang untuk sebuah perusahaan yang mempunyai lebih daripada 200 orang pekerja, sebaliknya hendaklah mengikut jumlah pekerja seperti yang didaftarkan di Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Tempoh program ini yang dijaduakan berakhir pada 31 Disember depan juga perlu dilanjutkan mengikut kesesuaian berpandukan kepada situasi semasa,” katanya.