UMK terima tiga kapal dilucut hak

Dr Noor Azizi (dua dari kanan) menerima penyerahan vessel lucut hak dari APMM yang disampaikan oleh, Muhd Nur Syam Asmawie (tiga dari kiri) kepada UMK di Markas APMM Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh.
Dr Noor Azizi (dua dari kanan) menerima penyerahan vessel lucut hak dari APMM yang disampaikan oleh, Muhd Nur Syam Asmawie (tiga dari kiri) kepada UMK di Markas APMM Kelantan di Tok Bali, Pasir Puteh.
A
A
A

PASIR PUTEH - Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menerima tiga buah kapal vessel yang dianggarkan bernilai lebih RM530,000 daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan yang dilucut hak oleh pihak kerajaan bagi tujuan penyelidikan.

Naib Canselor UMK, Profesor Datuk Dr Noor Azizi Ismail berkata, tiga buah kapal itu dilihat bakal merancakkan lagi sesi pengajaran dan penyelidikan institusi berkenaan.

"Kita (UMK) akan bekerjasama dengan pihak Ain Aquaculture untuk membangunkan kapal ini sebagai pusat latihan hospitaliti dan penyelenggaraan (kapal nelayan rosak).

"Kita akan menggunakan modul yang dibangunkan oleh UMK," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Vessel Lucut Hak kepada UMK di Markas APMM Kelantan di Tok Bali di sini hari ini.

Hadir sama Pengerusi Ain Medicare, Datuk Wan Ariff Wan Hamzah, Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Muhd Nur Syam Asmawie Yaacob, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UMK dan Pengarah Creative Techo Park UMK, Mohd Asmawi Isa.

Menurutnya, kapal tersebut juga akan dijadikan sebagai pusat pengendalian bot bertauliah yang akan dilengkapi dengan galeri seni.

Katanya, kehadiran bot-bot jenis vessel ini dijangka mampu merancakkan lagi kawasan sekitar khususnya Pulau Gajah, Pengkalan Chepa sebagai pusat pelancongan.

"Untuk makluman semua, kita akan tempatkan semua bot-bot ini di kawasan Pulau Gajah. Kerjasama ini berlandaskan kepada konsep 'quadruple helix' sebagaimana yang ditekankan oleh Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) iaitu melibatkan pihak universiti, agensi kerajaan, swasta dan komuniti setempat," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Muhd Nur Syam Asmawie berkata, penyerahan bot berkenaan atas prinsip memanfaatkan semula untuk pembelajaran dan khidmat kemasyarakatan.

Katanya, bot berkenaan sudah dilucutkan hak milik oleh mahkamah selepas tekong dan awak-awak nelayan asing disabitkan kesalahan menceroboh dan menangkap ikan secara haram di perairan negara.

"Sebelum ini bot yang dilucutkan hak milik ditenggelamkan di tengah laut untuk dijadikan tukun," katanya.