Covid-19: Empat kluster kekal aktif di Johor

Tiada pertambahan kes bagi kluster aktif tersebut.- Gambar hiasan
Tiada pertambahan kes bagi kluster aktif tersebut.- Gambar hiasan
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kluster Meldrum, Kluster Bayu, Kluster Kempas dan Kluster Rinting kekal sebagai empat kluster yang aktif di Johor sehingga semalam.

Exco Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor, R Vidyananthan berkata, Kluster Meldrum menyumbang tujuh kes, Kluster Bayu (lapan kes), Kluster Kempas (54 kes) dan Kluster Rinting (10 kes).

"Tiada pertambahan kes bagi kluster aktif tersebut. Kumulatif kes koronavirus (Covid-19) yang dilaporkan sehingga semalam adalah sebanyak 930 kes dengan 21 kematian.

"Sebanyak 859 kes pulih iaitu 92.3 peratus daripada jumlah keseluruhan kes, 50 kes Covid-19 yang aktif dan telah diasingkan serta diberi rawatan di hospital," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berharap, orang ramai mengurangkan keberadaan di luar rumah jika tiada mempunyai urusan penting dan jika ada keperluan mendesak di luar rumah, patuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Langkah pencegahan adalah vaksin terbaik bagi melindungi kita dan keluarga daripada jangkitan Covid-19," katanya.

Selain itu, Vidyananthan berkata, semua pihak perlu mematuhi SOP semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) semasa perayaan Deepavali.

Katanya, semasa di kuil perlu disediakan kaunter di pintu masuk bagi memeriksa suhu badan dan saringan gejala berkaitan Covid-19 seperti batuk, sakit tekak atau sesak nafas.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, kehadiran juga perlu menggunakan aplikasi MySejahtera atau direkodkan dalam buku kehadiran, penganut yang menghidap penyakit kronik, warga emas dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah tidak digalakkan hadir.

"Upacara sembahyang hendaklah mematuhi SOP pembukaan rumah ibadat yang telah dikeluarkan dan tidak melebihi 30 orang pada satu masa tertakluk kepada keluasan ruang kuil dengan penjarakkan fizikal," katanya.

Bagi sambutan perayaan di rumah pula, hanya keluarga terdekat tidak melebihi 20 orang pada satu-satu masa manakala kediaman strata pula tidak melebihi 10 hingga 15 orang pada satu-satu masa mengikut keluasan rumah.