IPR Selangor diteruskan dengan penambahbaikan

Amirudin Shari
Amirudin Shari
A
A
A

SHAH ALAM - Insentif Peduli Rakyat (IPR) di Selangor akan diteruskan dengan penambahbaikan yang telah disusun.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, kerajaan akan memperkenalkan kursus dan latihan berdasarkan peruntukan kerajaan negeri.

"IPR diperkenalkan sejak 2008 cuba memberi fokus terhadap setiap kelompok masyarakat berdasarkan keperluan.

"Sebagai contoh program Kasih Ibu Smart Selangor (Kiss) dengan bayaran RM200 sebulan, di mana dalam tempoh 10 tahun akan datang, kerajaan mungkin tidak mampu untuk membayar lagi dengan beban kewangan yang meningkat," katanya dalam Bicara Minda Sinar Harian di Dewan Karangkraf, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pendekatan kerajaan negeri adalah mungkin mengurangkan jumlah agihan dan ditambah dengan latihan kepada suri rumah untuk membolehkan mereka boleh menjalankan aktiviti yang memberi nilai tambah kepada keluarga.

Katanya, insentif pemberian RM500 kepada pasangan muda juga akan ditambah baik dengan penyediaan kursus pemantapan sebelum dan selepas berkahwin.

"Kes perceraian di Selangor antara yang tertinggi dan punca utama adalah kerana tidak bersedia untuk berkahwin.

"Kerana itu kita tukar kepada kursus lebih komprehensif bagi menghadapi tekanan dan cabaran berumahtangga.

Artikel Berkaitan:

"Mungkin jumlah RM500 yang diberikan kerajaan negeri itu akan digunakan untuk bayar sewa rumah tetapi macam mana selepas itu, nak beli susu anak dan keperluan-keperluan lain kehidupan? Jadi latihan untuk menguruskan keluarga akan diajar kepada pasangan," katanya.